Presiden MIC, Tan Sri S.A Vigneswaran bercakap pada Perhimpunan Agung MIC di Hotel Wyndham Acmar, Kalang, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 03 APRIL 2021.

KLANG – “Hanya kerana MIC menjemput Perdana Menteri untuk menyampaikan ucapan khas sempena Perhimpunan Agung Tahunan MIC ke-74 (AGM) tidak bermakna kami sudah melompat ke Perikatan Nasional (PN).

“Agak tidak cerdik dan bodoh sekali untuk fikir begitu. MIC masih setia dengan Barisan Nasional, tolong bersikap adil sedikit,” kata Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran.

Beliau menyatakan demikian bagi mengulas desas desus parti itu telah  mengambil ketetapan untuk meninggalkan Barisan Nasional (BN) selepas menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan MIC ke-74 di sini hari ini.

Menurut Vigneswaran, tidak semestinya dengan hanya jemput Muhyiddin berucap bermakna parti itu melompat menyertai PN.

Katanya, MIC masih bersama BN dan apa yang dilakukan hanya bersikap adil dengan mengundang Perdana Menteri menyampaikan ucapan kerana beliau  telah melantik wakil MIC dalam Kabinet.

“Dan ingat ya, pelantikan ini bukanlah atas saranan Barisan Nasional (BN) sebaliknya beliau sendiri beri pengiktirafan kepada Timbalan Presiden, Datuk Seri M Saravanan dengan memberinya jawatan Menteri dari awal penubuhan kerajaan PN.

“Jadi semestinya langsung tidak timbul persoalan atau kesimpulan kurang cerdik seperti ini. Apa yang saya cakap ini adalah kebenaran, jika ada yang hendak pertikai, dipersilakan, ujarnya.

Tambah Vigneswaran, beliau tidak ambil pusing jika ada yang marah kepadanya, malah dia juga tidak takut kerana tidak menjatuhkan sesiapa.

Selain Muhyiddin, Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut memberikan ucapan secara maya. Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong menghadiri pembukaan mesyuarat itu.

Terdahulu, Vigneswaran berkata, selagi tidak ada keputusan dalam Majlis Tertinggi BN, MIC akan kekal memberikan sokongan kepada Muhyiddin dan kerajaan PNi.

“UMNO telah buat ketetapan mereka sebelum ini, mereka juga pernah membuat ketetapan dalam Muafakat Nasional (MN) dengan Pas. Mereka tidak pernah pula bertanya apa-apa persetujuan dengan MIC.

“Begitu juga dengan MIC, kita buat keputusan untuk terus menyokong PN dan Perdana Menteri selagi tidak ada apa-apa ketetapan dalam Mesyuarat Tertinggi BN. Selagi tidak ada apa-apa alasan munasabah untuk tidak sokong PN, MIC tetap sokong PN,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast