TEHRAN – Iran mahu Amerika Syarikat (AS) menarik balik semua sekatan dan menolak pelonggaran sekatan “langkah demi langkah”, kata Kementerian Luar Negeri.

Kenyataan itu dikeluarkan menjelang rundingan yang dirancang di Vienna minggu depan untuk menghidupkan semula perjanjian nuklear 2015 antara Teheran dan kuasa global.

Iran membuat kenyataan tersebut selepas Perancis menggesa Iran untuk menunjukkan pendirian yang konstruktif dalam perbincangan tidak langsung dengan Washington di Austria, yang mana ia akan menjadi sebahagian daripada rundingan.

Jurucakap kementerian itu, Saeed Khatibzadeh berkata, Tehran menentang kelonggaran sekatan secara berperingkat-peringkat.

”Tidak ada rancangan langkah demi langkah yang sedang dipertimbangkan,” kata Khatibzadeh kepada Press TV.

”Sebaliknya, dasar yang pasti kepada Iran adalah menarik semula sekatan AS ke atas Iran,” kata Khatibzadeh kepada Press TV.

Bekas presiden Donald Trump telah menarik Amerika Syarikat keluar dari perjanjian nuklear pada 2018 dan mengenakan sekatan ke atas Iran, mendorong Teheran melanggar beberapa sekatan nuklear perjanjian itu.

Bagaimanapun, Joe Biden mahu memperbaharui perjanjian tersebut.

Tetapi, AS dan Iran masih belum mendapat rentak siapa yang akan memulakan langkah pertama.

Jabatan Negara AS mengatakan bahawa fokus rundingan di Vienna adalah pada “langkah-langkah nuklear yang perlu diambil oleh Iran untuk kembali mematuhi” perjanjian nuklear.

Iran, China, Rusia, Perancis, Jerman dan Britain – semua pihak dalam perjanjian 2015 – mengadakan perbincangan maya pada hari Jumaat untuk membincangkan kemungkinan AS kembali kepada perjanjian tersebut.

Menyusul panggilan dengan rakan sejawatnya dari Iran Mohammad Javad Zarif pada hari Sabtu, Menteri Luar Perancis Jean-Yves Le Drian dalam satu kenyataan berkata, beliau telah meminta Iran untuk menghindari pelanggaran lebih lanjut terhadap komitmen nuklearnya.

“Saya mendorong Iran untuk bersikap konstruktif dalam perbincangan yang akan berlangsung,” kata Le Drian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast