KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak memerlukan kapal hospital buat masa ini bagi melaksanakan misi perubatan.
Sebaliknya, ia lebih memerlukan kapal sokongan pelbagai peranan (MRSS) bagi menghadapi segala kemungkinan di perairan negara.
Ketua Pengarah Bahagian Perkhidmatan Kesihatan ATM, Leftenan Jeneral Datuk Dr. Md. Amin Muslan berkata, kapal MRSS juga dapat memudahkan pasukan keselamatan itu menempatkan kemudahan perubatan di atasnya.
“Untuk perkhidmatan kesihatan selaku angkatan moden dan keupayaan atur gerak, kehadiran MRSS atau Multi Role Support Ship yang boleh mempelbagaikan peranan kepada kapal pengangkut, hospital amat menjadi satu aset kepada ATM secara menyeluruh yang mana akan membantu melebarkan lagi daya keupayaan kita.
“Kapal hospital tentera tidak diperlukan kerana kemudahan perubatan ATM yang lebih bersifat pelbagai fungsi dan boleh diselaraskan dengan kesihatan awam,” katanya.
Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas majlis perasmian Persidangan Perubatan Ketenteraan (MMMC) 2021 di Wisma Perwira Angkatan Tentera, Jalan Padang Tembak di sini.
Malah menurut, Md. Amin, kemudahan yang dimiliki ATM boleh disepadukan dengan perkhidmatan kesihatan awam secara berkesan.
“Sebagai contoh ketika berlaku penularan Covid-19, kita boleh bantu rakan-rakan di perkhidamatan awam dengan membuka hospital tentera seperti di Tawau Sabah dan Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps),” ujarnya. – MalaysiaGazette