Persidangan Parlimen merupakan tunjang kepada pemerintahan demokrasi.- Gambar hiasan.

TIDAK dinafikan, persidangan Parlimen merupakan tunjang kepada pemerintahan demokrasi. Namun, jika dinilai dari apa yang berlaku pada persidangan lepas dan dalam keadaan negara menghadapi ancaman pandemik Covid-19 serta kedudukan ekonomi negara yang merudum ini, saya berpendapat ia sangat tidak sesuai untuk diadakan buat masa sekarang.

Apa faedahnya persidangan diadakan, jika ia akan dipenuhi dengan suasana pekik memekik, tuding menuding, kata nista, maki hamun dengan perkataan yang tidak wajar keluar dari mereka yang “dihormati” – dalam istilah Parlimen “unparliamentary words” dan sebagainya? Apatah lagi jika ia diambil peluang oleh Yang Berhormat-Yang Berhormat untuk dijadikan gelanggang politik di kalangan mereka.

Kekadang sebagai rakyat yang sangat inginkan pembelaan terasa sangat teruja dengan hujah-hujah disampaikan oleh sesetengah MP kita, dengan bersandarkan kata-kata hebat – denyut nadi rakyat di akar umbi serta ungkapan demi bangsa, agama dan negara dan sebagainya yang penuh dengan idea-idea yang meyakinkan dapat membantu rakyat.

Alih-alih ketika mengundi kepada isu berkenaan, mereka mengundi perkara yang bertentangan langsung dengan apa yang dihujahkan. Walau apa alasannya, ramai rakyat mempersoalkan kreadibiliti MP seumpama ini.

Untuk itu tidak perlulah dibangkitkan soal mengapa sesi Parlimen tidak diadakan sekarang ini. Jadikan masa yang terluang ini untuk semua MP kita merenung sejenak akan peristiwa-peristiwa yang berlaku di Parlimen di masa lalu serta berazam untuk memperbaikinya demi rakyat dan negara sebagaimana yang dilaung-laungkan.

Jadikan Parlimen kita bertaraf dunia atau setidak-tidaknya jadilah seperti Parlimen di negara jiran kita – Singapura.

Berubahlah… rakyat terlalu inginkan agar MP kita semua betul-betul menggunakan setiap sesi Parlimen dipenuhi dengan penggembelengan minda dalam membantu dan menaikkan ekonomi negara.

Berhujahlah dengan penuh sopan, berdisplin, penuh hemah serta berakal. Tidak perlu dengan ucapan yang berapi-api bagi mendapat gelaran hebat berpidato, tetapi isinya kosong dan tidak mendatangkan faedah kepada rakyat.

Jangan bimbang kepada prestasi anda sekalian. Rakyat memerhati dan menilai. Percayakan pada rezeki Allah SWT – jika dikehendiki-Nya, Insya-Allah selepas PRU akan datang, gelaran YB pasti milik yang berhak.

Menyingkap kepada usaha kerajaan dalam mengurangkan kesan dari serangan epidemik Covid-19 dalam keadaan darurat, kita sepatutnya berasa sedikit lega kerana segala usaha yang dilakukan telah menampakkan kesan pengurangannya – dari kes yang melebihi 5,000 sehari di awal tahun baru-baru ini, kini sudah berkurangan kepada angka sekitar 1,000 kes sehari.

Dengan adanya program suntikan vaksin secara percuma anjuran kerajaan, kita mengharapkan agar negara kita bebas dari serangan epidemik tersebut dalam masa terdekat ini.

Namun, kerajaan tidak harus terlepas pandang kepada mereka yang memperkecilkan usaha tersebut oleh sebilangan ahli masyarakat yang tidak bertanggungjawab meracuni fikiran rakyat melabelkan dengan pelbagai andaian di media-media sosial. Jangan pilih bulu serta bimbang kepada penilaian orang ramai – tangkap dan dakwa mereka berkenaan “without fear or favour”.

Alhamdullilah – kerajaan dilihat berjaya menangani penularan wabak tersebut, tetapi terlalu perlahan dalam bidang meningkatkan ekonomi kesan dari serangan epidemik tersebut.

Sejak akhir-akhir ini ada saja berita para pelabur berpindah arah dengan membawa peluang ekonomi ke negara jiran, manakala menteri berkenaan dikatakan telah memberi pelbagai alasan terhadap fenomena berkenaan.

Jika benar keadaan tersebut, ia sungguh merugikan negara dan tentunya usaha untuk meningkatkan ekonomi negara dalam jangka waktu yang sesingkat mungkin tidak akan tercapai.

Jika perlu, pilih saja ahli ekonomi yang berwibawa dan tersohor di negara ini untuk mengetuai kementerian berkenaan bagi membantu memacu ekonomi negara selaras dengan salah satu tujuan darurat diadakan.

Sesungguhnya rakyat tertekan akibatnya dan mengharapkan darurat yang diwartakan akan dapat mengatasinya. – MalaysiaGazette

Nordin Ahmad

Penulis, Nordin Ahmad adalah pemerhati politik tanah air

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Sy setuju dgn pandangan penulis tentang Parlimen.. tu lah yg terjadi ketika sidang pembentangan bajet haritu.. ada yg kena halau pun ada sebab nak tunjuk hero.

Comments are closed.