LONDON – Bintang perancang tengah Manchester City, Kevin de Bruyne telah menandatangani kontrak baharu bersama pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu hari ini.
Ia sekali gus mengesahkan pemain kelahiran Belgium itu akan kekal di Stadium Etihad sehingga 2025.
Pemain berusia 29 tahun itu mempunyai kontrak berbaki dua tahun lagi bersama skuad Pep Guardiola itu.
Sepanjang karier bersama kelab itu, De Bruyne menang dua gelaran EPL, Piala FA dan Piala Liga sebanyak empat kali sejak menyertainya dari Wolfsburg pada musim 2015.
“Menyambung kontrak untuk kekal lama bersama kelab ini satu keputusan yang berani dan ikhlas dalam karier bola sepak saya. Saya masih mempunyai banyak impian untuk dicapai bersama kelab ini untuk lima tahun akan datang.
“Kelab ini menyediakan segala yang saya perlukan untuk meningkat mutu persembahan ke tahap lebih baik,” katanya.
Walaupun kempen terjejas dengan kecederaan, de Bruyne masih terbukti berbisa di atas padang apabila menjaringkan lapan gol dan 16 bantuan gol dalam 33 penampilan setakat ini.
Dia turut menjaringkan gol pembukaan dalam aksi pertama suku akhir Liga Juara-Juara Eropah menentang Borussia Dortmund.
Dengan penyambungan kontraknya, dia mahu memberi fokus sepenuhnya untuk kelab menamatkan saingan dengan kuat dan sempurna menjulang gelaran yang disasarkan.
“Hasil dan persembahan kami atas padang setakat ini sangat luar biasa tetapi kami masih perlu memastikan menamatkan musim ini dengan kejuaraan yang disasarkan,” kata de Bruyne.-MalaysiaGazette