SHAH ALAM – Seorang kru kapal tangki gas petroleum cecair (LPG) warga Turki maut manakala tiga lagi kritkal dipercayai akibat terhidu gas ammonia yang bocor dari kapal di perairan antarabangsa di Barat Pelabuhan Klang, dekat sini, Selasa malam.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Selangor, Komander Maritim Norihan Ngah dalam kenyataan hari ini berkata, kejadian dipercayai berlaku pada kira-kira pukul 9 malam dan pihaknya menerima panggilan berhubung insiden berkenaan dari sebuah agen perkapalan, pada kira-kira pukul 11 malam.

Katanya susulan itu, pihaknya menggerakkan anggota APMM Selangor bersama-sama Hazardous Material Unit Team (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia sekitar 3 pagi tadi ke lokasi kapal tangki itu MV Hamburg DW yang bersauh di Barat Daya Pulau Selat Kering, untuk mengeluarkan kesemua mangsa.

“Lelaki berusia 62 tahun itu meninggal dunia di kapal tangki berkenaan manakala tiga lagi mangsa, dua warga Turki dan seorang warga India berumur 28 hingga 50 tahun selamat, namun berada dalam keadaan kritikal.

“Punca kecederaan mereka semua adalah akibat terhidu gas ammonia. Dipercayai kebocoran gas berlaku pada kapal tangki tersebut,” katanya.

Norihan berkata, pihaknya juga telah memaklumkan kejadian kepada Kementerian Kesihatan dan pasukan Polis Diraja Malaysia.

Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk rawatan dan tindakan lanjut. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast