Selebriti, Datuk Sri Siti Nurhaliza bergambar bersama kad Jubli Siti ke 25 tahun pada Majlis Pelancaran Produk Emas Edisi Khas Jubli Siti 25 Tahun dan Yapeim di Moza Restaurant, Kuala Lumpur. Foto FIKRI YAZID, 7 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR  – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) memperkenalkan wafer dan dinar emas kolaborasi bersama penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM, Parihah Hasan berkata, idea itu direalisasikan dan didatangkan dalam variasi satu gram, lima gram dan satu dinar (4.25 gram).

“Keluaran YaPEIM Gold ini juga merupakan salah satu langkah untuk menggalakkan masyarakat terutama para peminat Datuk Siti Nurhaliza sendiri untuk menjadikan wafer emas ini sebagai koleksi peribadi sekaligus mendidik masyarakat untuk menyimpan emas.

“Selaras dengan pelancaran kali ini, YaPEIM Gold menyasarkan jualan 30,000 keping bagi varian satu gram manakala 3,000 keping bagi edisi satu dinar dan 3,000 keping bagi edisi lima gram secara pra pesanan,” katanya ketika majlis pelancaran produk emas edisi khas jubli Siti 25 tahun di sini hari ini.

Selebriti, Datuk Sri Siti Nurhaliza (tengah) bersama suami, Datuk Sri Khalid (kanan) pada Majlis Pelancaran Produk Emas Edisi Khas Jubli Siti 25 Tahun dan Yapeim di Moza Restaurant, Kuala Lumpur. Foto FIKRI YAZID, 7 APRIL 2021.

Sementara itu, Mumtazah berkata,  peminat dan pengumpul emas boleh mendapatkan edisi terhad berkenaan pada harga RM360 bagi siri satu gram setiap satu selain berpeluang memilih reka bentuk idaman hati kerana didatangkan khas dengan tiga variasi.

“Manakala bagi koleksi satu dinar (4.25 gram) pula dijual dengan harga RM1,350 setiap satu selain turut hadir dengan reka bentuk dan grafik yang menarik sekaligus sesuai untuk dijadikan koleksi memorabilia khususnya bagi peminat setia Datuk Seri Siti Nurhaliza,” ujarnya.

Dalam masa sama, Siti Nurhaliza percaya dengan adanya kolaborasi itu sudah tentu akan memberi nilai tambah kepada rakyat Malaysia ke arah konsep penyimpanan emas yang telus, mudah dan meningkatkan ekonomi ummah.

“Saya lihat kebanyakan peminat saya sangat berminat untuk menyimpan emas, jadi kebetulan dengan adanya kolaborasi ini akan membuatkan mereka menjadikan wafer emas ini sebagai koleksi peribadi sekaligus mendidik masyarakat menyimpan emas.

Selebriti, Datuk Sri Siti Nurhaliza berucap pada Majlis Pelancaran Produk Emas Edisi Khas Jubli Siti 25 Tahun dan Yapeim di Moza Restaurant, Kuala Lumpur. Foto FIKRI YAZID, 7 APRIL 2021.

“Seperti mana yang ditawarkan dengan jumlah yang berbeza-beza, InsyaAllah penjualan emas ini tidak membebankan mereka untuk membelinya.

“Jadi saya berharap, dengan adanya peluang perniagaan sebegini peminat saya tidak melepaskan peluang keemasan mereka untuk menjadi dropship bagi mejana pendapatan,” jelasnya ketika sesi soal jawab pada majlis yang sama.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast