Bangunan Dong Jiao Zong, Kajang, Selangor.

KAJANG – Penubuhan jawatankuasa interaksi rentas kaum merupakan keutamaan Cheah Lek Aee yang menerima mandat baharu untuk menerajui Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong).

Sebagai Pengerusi Jiao Zong, Lek Aee berkata, pertubuhan itu perlu lebih gigih untuk mendekati kaum bukan Cina supaya mereka memahami peranan dan latar belakangnya.

Katanya, Jiao Zong akan menjalankan lebih banyak program membabitkan pelbagai kaum serta mengajak pertubuhan Melayu untuk bertukar-tukar fikiran.

“Dengan menyatakan peranan dan berkongsi cerita Jiao Zong, kemudiannya kami boleh melihat kemungkinan pembentukan kerjasama dengan lebih banyak pihak dalam isu-isu pendidikan,” katanya dalam wawancara bersama Sinchew Daily.

Lek Aee berkata, beliau mahu menghapuskan label “perkauman” yang sering diberikan kepada Jiao Zong dalam pelbagai isu kontroversi.

Katanya, pembentukan jawatankuasa interaksi rentas kaum justeru diharapkan dapat berusaha ke arah itu.

Menurutnya, golongan yang melabelkan Jiao Zong sebagai pertubuhan perkauman sebenarnya adalah golongan yang tidak memahami peranan Jiao Zong sehingga mereka melabel pertubuhan itu sebagai ekstrem.

“Golongan yang berfikiran lebih terbuka tidak akan bersangka sedemikian, mereka memahami tujuan kami hanyalah untuk mempertahankan pendidikan bahasa ibunda,” katanya.

Beliau juga kecewa kerana tindakan Jiao Zong mempertahankan bahasa ibunda menyebabkannya dilabel dan disalah sangka sebagai memainkan sentimen perkauman oleh golongan tertentu dalam isu pengajaran tulisan Jawi.

Katanya, sesetengah organisasi juga cuba mengelirukan orang ramai dalam isu itu.

“Oleh itu, kami berharap dapat menghapuskan persepsi buruk dengan mendekati komuniti bukan Cina, ” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast