KUALA LUMPUR – Jumlah tenaga buruh pada bulan Februari meningkat sedikit selari dengan petunjuk ekonomi yang semakin baik, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berdasarkan Survei Tenaga Buruh.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pasaran buruh terus pulih dengan petunjuk ekonomi yang semakin baik, digambarkan melalui peningkatan tahun ke tahun Indeks Pelopor Januari 2021 sebanyak 8.2 peratus.

Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dilanjutkan sehingga 18 Februari 2021 di semua negeri kecuali Sarawak, lebih banyak perniagaan dibenarkan beroperasi dengan prosedur operasi standard yang ketat merangkumi semua segmen sektor runcit; aktiviti sukan & rekreasi; dan perkhidmatan swasta lain bagi memastikan kemampanan ekonomi terutamanya dalam kalangan perniagaan kecil.

Tambahan pula, program vaksinasi fasa pertama yang bermula pada 24 Februari tahun ini memberi sedikit kelegaan kepada perniagaan dan
masyarakat.

Melihat situasi tenaga buruh pada bulan Februari 2021, Mohd Uzir berkata, bilangan penduduk bekerja meningkat 33,300 orang bulan ke bulan
kepada 15.27 juta orang (Januari 2021: 15.24 juta orang), merekodkan trend menaik selama tiga bulan berturut-turut.

Mengikut sektor ekonomi, bilangan penduduk bekerja di sektor perkhidmatan terus meningkat terutamanya aktiviti perdagangan
borong & runcit; pendidikan dan kesihatan kemanusiaan & kerja sosial manakala dalam industri yang berkaitan dengan pelancongan kekal dalam trend menurun.

Selain itu, bilangan penduduk bekerja di sektor pembuatan dan pembinaan kekal positif manakala sektor pertanian dan perlombongan & pengkuarian merekodkan pengurangan.

Mengulas lebih lanjut mengenai status pekerjaan, beliau berkata, kategori pekerja yang merangkumi komposisi terbesar guna tenaga iaitu sebanyak 77.7 peratus meningkat 0.2 peratus (+24.0 ribu orang) kepada 11.87 juta orang (Januari 2021: 11.85 juta orang).

Begitu juga dengan penduduk bekerja sendiri yang meliputi 15.9 peratus, bertambah kepada 2.43 juta orang pada Februari 2021 (Januari 2021:
2.39 juta orang).

Bilangan penduduk bekerja yang tidak bekerja buat sementara waktu pada bulan tersebut berkurang kepada 150,800 orang (Januari 2021: 158.9 ribu orang).

Golongan ini yang berkemungkinan besar tidak dapat bekerja, namun tidak dikategorikan sebagai penganggur kerana mereka mempunyai pekerjaan dan akan kembali bekerja.

Nisbah guna tenaga kepada penduduk menunjukkan kemampuan ekonomi untuk mewujudkan guna tenaga kekal pada 65.2 peratus pada Februari
2021.

Pada bulan tersebut, kadar pengangguran turun kepada 4.8 peratus (Januari 2021: 4.9%) merekodkan penurunan bilangan penganggur sebanyak 5,000 ribu orang atau 0.6 peratus kepada 777,500 orang (Januari 2021: 782,500 orang).

Penganggur aktif yang ditakrifkan sebagai orang yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan, berkurang sebanyak 9.8 ribu orang kepada 647,400 orang (Januari 2021: 657,200 orang).

Mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan menyumbang 50.6 peratus daripada jumlah penggangur aktif.

Sementara itu, sebanyak 11.3 peratus penganggur aktif berada dalam pengangguran jangka panjang iaitu bagi tempoh lebih dari setahun.

Dengan bilangan penduduk bekerja terus meningkat manakala bilangan penganggur menurun, tenaga buruh meningkat sedikit 0.2 peratus bulan ke bulan kepada 16.05 juta orang (Januari 2021: 16.02 juta orang).

Kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) pada Februari 2021 kekal pada 68.5 peratus.

Sementara itu, luar tenaga buruh mencatatkan pertambahan sebanyak 5,200 orang kepada 7.37 juta orang.

Komposisi terbesar penduduk luar tenaga buruh adalah disebabkan oleh kerja rumah/ tanggungjawab keluarga (44.5%) dan diikuti oleh bersekolah/ latihan (42.0%).

Perbandingan dengan bulan yang sama pada tahun sebelumnya, bilangan penduduk bekerja berkurang 0.5 peratus atau bersamaan dengan 73,900 orang (Februari 2020: 15.34 juta orang) manakala kadar pengangguran meningkat 1.5 mata peratus dari 3.3 peratus dengan mencatatkan pertambahan sebanyak 252,300 orang.

Sementara itu, KPTB bagi tempoh itu menurun sebanyak 0.2 mata peratus (Februari 2020: 68.7%). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast