Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad melawat tapak pameran selepas menyaksikan Majlis Menandatangani memorandum persefahaman antara UPM dan Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) ketika hadir ke Persidangan Industri Kreatif di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 08 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR –  Penulis dan penerbit perlu berani menghadapi cabaran dengan menampilkan idea-idea kreatif dan inovatif untuk berjaya dalam arena penerbitan penulisan kreatif.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, Pemilihan Kuala Lumpur sebagai Kota Buku Dunia merupakan peluang yang harus dimanfaatkan sebagai usaha menjadikan rakyat sebagai generasi Malaysia yang berilmu.

“Usaha untuk memperkasakan industri kreatif dan industri buku di negara ini perlulah seiring dengan hasrat untuk membina masyarakat Malaysia yang bertamadun dan berdaya saing.

“Perkara ini boleh dicapai menerusi budaya berkongsi pengetahuan, menulis dan membaca,” katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN), di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.

Turut berlangsung hari ini adalah Persidangan Industri Kreatif Kebangsaan 2021.

Menurut Noraini, persidangan itu dilihat menekankan kepada empat tema iaitu membaca dalam semua bentuk, pembangunan infrastruktur industri buku, keterangkuman dan akses digital serta pemberdayaan kanak-kanak melalui aktiviti membaca.

“Ketika kita sedang berusaha meningkatkan kadar literasi negara dan dalam keadaan dunia digital lebih dominan, pastinya upaya ke arah melengkapkan selekoh terakhir Kuala Lumpur Kota Buku Dunia 2020 lebih mencabar.

“Ia menuntut daya kreativiti serta inovasi yang tinggi, kritikal kepada kita untuk merangka strategi bagi memastikan kedua-dua medium penyampaian ilmu sama ada yang bercetak atau digital, dapat meningkatkan lagi kadar literasi dan memperkaya ilmu pengetahuan rakyat di negara ini,” tambahnya.

Usaha ini, katanya, wajar dilaksanakan secara berterusan, melibatkan pelbagai peringkat umur dan pendidikan kerana budaya cintakan ilmu itu adalah perkara yang perlu dilestarikan.

Noraini menambah, industri kreatif di Malaysia mempunyai ruang dan potensi untuk menjana pendapatan rakyat di samping berupaya menjadikan ekonomi negara lebih dinamik.

Ini kerana, jelas beliau, industri kreatif di negara-negara maju menyumbang antara satu hingga lima peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, sektor industri kreatif menyumbangkan kira-kira RM29.4 bilion pada tahun 2019 kepada KDNK negara kita.

“Malah, pada tahun yang sama, industri ini turut memberikan peluang pekerjaan kepada 859,900 individu di seluruh negara,” katanya. – MalaysiaGazette