Ahmad Zakiyuddin (kanan) menunjukkan tiga kadar zakat fitrah yang ditetapkan Pulau Pinang bagi tahun 2021 di Bukit Mertajam hari ini.

BUKIT MERTAJAM – Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) menetapkan tiga kadar bayaran zakat fitrah bagi tahun 2021 di negeri ini iaitu RM7, RM12 dan RM16.

Yang Dipertua MAINPP, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, tiga kadar bayaran itu ditetapkan selepas mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang dan diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Katanya, penetapan tiga kadar bayaran berkenaan adalah untuk memberi peluang kepada umat Islam negeri ini yang memiliki kelebihan dari segi kemampuan menunaikan kewajipan zakat fitrah mengikut kadar yang tinggi iaitu RM12 dan RM16.

“Bagi mereka yang tidak berkemampuan dan mempunyai tanggungan ramai boleh membuat bayaran zakat pada kadar RM7 seperti yang ditetapkan pada tahun lalu.

Tambah Ahmad Zakiyuddin, penetapan kadar harga zakat fitrah ini ditentukan berdasarkan harga beras semasa di dalam negeri Pulau Pinang dan kaedah pengiraan adalah mengikut harga beras yang biasanya digunakan oleh kebanyakan umat Islam negeri itu.

“MAINPP sedar penularan Covid-19 yang masih belum pulih sekali gus memberi kesan kepada pendapatan isi rumah sebahagian umat Islam di negeri ini jadi kita tetapkan tiga kadar di mana pembayaran boleh dibuat ikut kemampuan masing-masing.

“Kadar bayaran itu ditentukan dengan cara pemakanan beras contohnya RM7 bagi kumpulan majoriti yang memakan Beras Super Spesial Tempatan (5% hancur), Super Special Tempatan (10% hancur), Beras Tempatan Standard, Beras Tempatan Premium dan lain-lain jenis yang setara dengannya.

“Bayaran RM12 bagi kumpulan yang memakan beras wangi, beras pulut, beras poney atau setaranya dengannya manakala bayara RM16 pula kepada mereka yang makan beras berkualiti tinggi seperti Beras Basmathi atau setarany,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Pusat Zakat Pulau Pinang di sini hari ini.

Ahmad Zakiyuddin (tengah) menunjukkan tiga kadar zakat fitrah yang ditetapkan Pulau Pinang bagi tahun 2021 di Bukit Mertajam hari ini.

Mengulas mengenai kutipan zakat fitrah, Ahmad Zakiyuddin yang juga Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang berkata, Pulau Pinang merekodkan RM5.54 juta bagi tahun lalu dan menjangkakan RM6 juta bagi tahun ini.

Selain itu, Ahmad Zakiyuddin turut mengingatkan umat Islam di negeri itu melakukan pembayaran zakat fitrah kepada amil yang sah dan dilantik oleh MAINPP mengikut Seksyen 16, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996.

“Tahun ini  seramai 1,719 amil dilantik oleh MAINPP membabitkan 232 kariah. Selain pembayaran melalui amil kita juga menggalakan umat Islam di negeri ini membuat bayaran melalui kaedah online yang disediakan melalui portal zakatpenang2u.com, JomPay, GoPAYZ dan beberapa kaedah digital yang akan diumumkan kelak.

“Kita jangkakan kutipan zakat melalui online akan meningkat tahun ini memandangkan pembayaran zakat menerusi saluran itu naik 11 peratus tahun lalu,” kata beliau.

Untuk rekod tahun lalu Pulau Pinang menetapkan dua kadar zakat fitrah iaitu RM7 dan RM16.

Berdasarkan statistik seramai 24,557 umat Islam di negeri itu membayar pada kadar RM16 manakala 641,636 individu pada kadar RM7.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Sahaabah bayar zakat fitrah dengan makanan walaupun mereka ada dirham menurut hadith sahih. Keempat-empat imam-imam Hanafi, Maliki, Shafie, dan Hanbali dah umumkan yang mazhab mereka adalah hadith sahih dan mereka pesan supaya ketepikan mana-mana pendapat mereka yang tidak selati dengan hadith sahih.

Comments are closed.