KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan memperuntukkan sebanyak 8.9 juta untuk melakukan kerja-kerja pembersihan dan pembangunan semula di kawasan tapak Highland Tower, Selangor.
Menterinya, Datuk Zuraida binti Kamaruddin berkata, kementerian itu telah memohon peruntukan itu kepada Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri untuk pengambilan tanah seluas hampir dua ekar itu.
Bagaimanapun, menurut beliau, kerja-kerja perobohan bangunan yang sedia ada dan pembersihan kawasan tersebut hanya boleh dilakukan selepas pembayaran pampasan tanah diselesaikan.
“Selepas kerja-kerja perobohan selesai, kawasan tersebut perlu dibersihkan serta diperindahkan. Projek-projek pembangunan yang bersesuaian akan dilaksanakan di atas kawasan tapak ini bagi mengoptimumkan penggunaan tanah sedia ada secara lebih efektif.
“Pembangunan semula tapak ini dan kerja-kerja pengindahan yang akan dilaksanakan pastinya akan memberi nafas baru dan mewujudkan persekitaran yang selesa.
“Suasana yang lebih ceria itu seterusnya akan dapat menjamin keselamatan dan kesejahteraan penduduk di sekitar kawasan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Salah satu blok daripada tiga blok Highland Towers runtuh pada 11 Disember 1993 dan meragut 48 nyawa.
Akibat tragedi itu, dua blok lagi telah dikosongkan atas faktor keselamatan.
Kawasan tapak ini telah lama terbiar ini kini menjadi sarang penagih dadah yang turut mengundang rasa kurang senang dan tidak selesa dalam kalangan penduduk setempat kerana wujudnya masalah sosial.
Zuraida berkata, bangunan lama yang telah lama ditinggalkan ini perlu dirobohkan dan dibersihkan bagi memberi laluan projek-projek pembangunan yang bersesuaian untuk manfaat khususnya bagi penduduk di kawasan sekitar. – MalaysiaGazette
kau runtuh kan buat padang, jimat berjuta
Biarkan jer lebih menjimatkan tak payah belanja satu sen pun, kemudian cekup dan denda penagih dadah lebih menguntungkan.