ALOR SETAR – Sebuah ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang membawa seorang pesakit COVID-19 terbalik selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat di Jalan Langgar, berdekatan Plaza Tol Alor Setar Utara, di sini, petang tadi.
Pengarah Kesihatan Negeri Kedah Dr Mohd Fikri Ujang berkata, ambulans itu yang turut dinaiki empat petugas KKM sedang dalam perjalanan membawa pesakit tersebut dari Baling ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini bagi rawatan COVID-19.
“Ambulans dinaiki seorang doktor dan seorang jururawat dan mereka tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala pemandu dan pembantu perubatan mengalami kecederaan ringan. Pesakit COVID-19 itu pula iaitu seorang wanita juga mengalami kecederaan ringan.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu pada 5.55 petang tadi.
“Anggota dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar tiba di lokasi dua minit kemudian. Terdapat lima mangsa yang menaiki ambulans berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Ahmad Shukri Mat Akhir mengesahkan menerima laporan berhubung kemalangan itu. – MalaysiaGazette