Pengerusi Malaysia Rail Link (MRL), Tan Sri Mohd. Zuki Ali diiringi Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak (kanan) dan Pengarah Urusan CCC-ECRL, Bai Yinzhan (kiri) menyempurnakan gimik perasmian pada Perasmian “ECRL 1st Tunnel Construction Breakthough” di Paka, Dungun, Terengganu. Foto SYAFIQ AMBAK, 09 APRIL 2021.

DUNGUN – Malaysia Rail Link (MRL) Sdn. Bhd. berjaya menyiapkan penembusan pertama terowong projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) enam bulan lebih awal daripada yang dijadualkan di Terowong Paka di sini.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, terowong sepanjang 1.1 kilometer (km) itu merupakan salah satu daripada keseluruhan 59 terowong dalam jajaran yang dijangka siap menjelang tahun 2026.

“Seperti yang kita sedia maklum terdapat 59 terowong akan dibina untuk projek ECRL dan saya berharap penyiapan penembusan projek ini akan memberi dorongan kepada keseluruhan projek yang kita rancang.

“Apa yang boleh dibanggakan terowong ini mendahului jadual enam bulan lebih awal dan ini adalah bukti kerjasama erat dan kesungguhan kontraktor China Communications Construction (CCC) yang kita lantik dalam memastikan projek ini berjalan seperti dijadualkan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Terowong Paka di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak.

Kerja-kerja penggalian Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) pada Perasmian “ECRL 1st Tunnel Construction Breakthough” di Paka, Dungun, Terengganu. Foto SYAFIQ AMBAK, 09 APRIL 2021.

Mengulas lanjut, Mohd. Zuki berkata, Terowong Paka dengan ketinggian 11.8 meter dan kelebaran 12.9 meter itu dibina bagi mengelak penebangan terbuka serta memelihara hutan simpan apabila melintasi kawasan persisiran di situ.

“Kerja-kerja penggalian telah mencapai kemajuan sebanyak 98.5 peratus sementara lapisan kekal terowong pula merangkumi 850 meter.

“Penggalian terowong ini bermula pada April 2018 namun dihentikan pembinaannya pada Julai 2018 kerana penangguhan projek ECRL sebelum ia disambung semula pada Ogos 2019.

“Kerja-kerja sivil pembinaan terowong dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama tahun 2022,” ujarnya.

Terowong Paka antara 59terowong yang dibina untuk Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) . Foto SYAFIQ AMBAK, 09 APRIL 2021.

Manakala terowong kedua di negeri tersebut iaitu Terowong Dungun sepanjang 871 meter kini sudah mencapai 760 meter kerja-kerja penggalian.

Kata Mohd. Zuki, jajaran ECRL di Seksyen B (Dungun-Mentakab) berada pada tahap optimum dengan keseluruhan projek sudah mencapai kemajuan 21.39 peratus sehingga bulan Mac.

Dalam pada itu, Mohd. Zuki turut puas hati terhadap tahap keselamatan yang ditunjukkan oleh kontraktor yang dilantik dalam menyiapkan kerja-kerja pembinaan.

Katanya, MRL turut bersetuju untuk meluluskan pengambilan 200 lagi pekerja tempatan dalam projek ECRL berkenaan iaitu penambahan kepada 480 tenaga kerja sedia ada. – Malaysia Gazette