Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang memperhalusi prosedur operasi standard (SOP) bagi tujuan membenarkan rakyat Malaysia kembali melancong ke luar negeri melalui perkhidmatan syarikat pengendali pelancongan berlesen termasuk mengerjakan ibadah umrah dan ziarah.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), dalam kenyataan berkata, draf SOP itu telah melalui beberapa siri perbincangan bersama para penggiat industri dan dibentangkan kepada pelbagai kementerian peneraju dan agensi kerajaan untuk ditambah baik.

Menurut kenyataan itu, MOTAC menyertai delegasi Malaysia ke Arab Saudi bagi lawatan kerja rasmi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri bermula hari ini hingga 18 April 2021 berkaitan haji dan umrah.

“Kerajaan Arab Saudi telah memperkenalkan dasar-dasar baharu dan mengenakan SOP yang ketat selaras dengan pengumuman pembukaan semula sempadan antarabangsa negara tersebut termasuk membenarkan semula aktiviti umrah kepada umat Islam selain warganegara Arab Saudi pada 1 Nov 2020.

“ Selaku kementerian yang mengawal selia pengendalian pakej umrah atau ziarah, lawatan kerja ini penting bagi melihat aspek SOP bagi kedua-dua negara, hal-hal kebajikan jemaah Malaysia semasa mengerjakan umrah dan cadangan kelonggaran untuk dipertimbangkan kerajaan Arab Saudi kepada para penggiat industri umrah Malaysia yang terkesan disebabkan wabak COVID-19,” menurut kenyataan itu.

Menurut MOTAC, hasil lawatan kerja ke Arab Saudi ini diharap akan memperkemas cadangan kementerian kepada kerajaan berhubung membenarkan rakyat Malaysia kembali melancong ke luar negeri termasuk mengerjakan ibadah umrah dan ziarah.

Katanya, sehingga ketetapan baharu oleh kerajaan dibuat, perjalanan ke luar negeri bagi tujuan tidak penting seperti aktiviti pelancongan, mengerjakan ibadah umrah dan ziarah adalah dilarang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast