KUANTAN – Semua imam dan 666 pengurusan masjid dan surau di negeri ini diminta mengekalkan solat sunat tarawih sebanyak 20 rakaat dan tiga witir sepanjang bulan Ramadan nanti.
Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman berkata, pengekalan itu seperti yang diputuskan Jawatankuasa Perundingan Fatwa Hukum Syarak negeri itu.
Menurutnya, perkara tersebut sudah mendapat perkenan oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Al-Mustafa Billah Shah.
Kerajaan Pahang telah mengeluarkan garis panduan bagi solat sunat tarawih dan aktiviti masjid sepanjang Ramadan ini, yang mana solat tarawih, witir, wirid dan tahlil doa dibenarkan dan hendaklah tamat di antara pukul 9.45 hingga 10 malam.
Sekiranya tidak sempurnakan 20 rakaat dalam tempoh masa yang ditetapkan, maka bolehlah ditunaikan bakinya di rumah masing-masing.
Kalau ada jemaah yang hendak balik ke rumah selepas lapan rakaat solat tarawih, tidak mengapa, kata beliau kepada MalaysiaGazette
“Kalau dikenangkan PKP tahun lepas kita tidak boleh keluar rumah pun, tidak boleh berjemaah di masjid untuk solat lima waktu jemaah tak boleh, solat Jumaat pun tak boleh.
“Sekarang tahun ini boleh, oleh itu marilah kita berjemaah, berpuasa bersama-sama dan bertarawih bersama mematuhi SOP yang ditetapkan.
“Kalau ada orang nak buat lapan, tidak ada masalah cuma kita mengharap dan menggalakkan semua masjid laksanakan 20 kerana kalau masjid buat lapan sahaja, tetapi ada jemaah yang hendak 20 rakaat maka akan terbatas,” tambahnya.
Abdul Rahman mengingatkan Imam Shafie melakukan solat tarawih 20 rakaat berdasarkan amalan Saidina Umar Al-Khatab secara berjemaah bagi menghidupkan dan menerangi masjid selepas Isyak sepanjang Ramadan.
“Semoga dengan keberkatan amalan di bulan Ramadan, Allah SWT akan mengangkat wabak Covid-19 dan kita dapat beribadat seperti sediakala,” ujarnya dengan penuh harapan. – MalaysiaGazette