Syabu seberat 63 kg yang disyaki diimpor dari Malaysia membabitkan dua lelaki di Sydney berjaya ditumpaskan polis Australia AFP dan Pasukan Polis Sempadan Australia (ABF) semalam.

KUALA LUMPUR – Polis Persekutuan Australia (AFP) pada Jumaat lalu telah menahan dua lelaki bersama dadah disyaki syabu seberat 63 kilogram yang dipercayai ‘diimport’ dari Malaysia.

Rampasan methaphetamine itu dianggarkan $18.9 juta dolar Australia atau kira-kira RM60 juta.

Kedua-dua suspek disyaki warga Sydney itu telah didakwa mengimport barang terlarang itu dengan disembunyikan dalam 18 lapisan kayu yang diisytiharkan sebagai baldi mop dalam konsain kapal, menurut AFP di Sydney.

Penyiasatan awal polis telah bermula Mac lalu setelah barang yang dilabel dan diisytiharkan sebagai ‘baldi mop’ telah diperiksa oleh Pasukan Sempadan Australia (ABF) di Sydney.

ABF kemudian membenarkan penghantarannya ke alamat penerima di Guildford West, Sydney pada 8 April lalu dan memantau ketat aktiviti berkenaan.

Soal siasat dan risikan lanjut polis berjaya membawa kepada penahanan lelaki berusia 27 tahun dari Merrylands merupakan penerima barang import itu sebelum waran geledah dikeluarkan  ke atas sebuah kediaman di Bexley Residence merupakan milik rakan suspek berusia 36 tahun itu.

Siasatan forensik lanjutan akhirnya mendedahkan 18 lapis kayu mengandungi methaphetamine seberat 63 kilogram berjaya ditemui.

Kedua-dua lelaki berkenaan telah ditahan dan telah dituduh semalam di Mahkamah Sydney atas cubaan mengisytiharkan barang terlarang atas nama lain dan mengimport dadah secara menyalahi undang-undang di bawah Seksyen 307.5 Kanun Kod Jenayah 1995 yang memperuntukkan penjara seumur hidup jika disabitkan kesalahannya.

Kedua-dua suspek masih tidak didedahkan identiti dan kerakyatan mereka selain tidak dibenarkan jaminan oleh mahkamah selepas pendakwaan semalam.

Pemangku Komander AFP Geoff Turner menegaskan, walaupun pesalah licik dalam membawa usaha masuk barang terlarang ke dalam negara pihak berkuasa Australia sentiasa selangkah ke hadapan untuk mematahkan percubaan mereka.

“ABF tahu segala taktik penjenayah untuk membawa masuk dadah kedalam negara namun pegawai ABF lebih bijak dan kelebihan teknologi, analisis agen risikan dan kemahiran unik untuk terus memerangi segala kaedah penjenayah dadah.,” kata beliau.-MalaysiaGazette