KUALA LUMPUR – Seorang gadis remaja yang termakan kehendak dan pujukan lelaki kenalan dunia siber untuk berbogel dalam panggilan video membawa padah gambar dia dirakam tanpa pengetahuannya.
Tidak terhenti di situ, sebaliknya suspek mengugut mangsa untuk menyebarkan gambar bogel itu dalam media sosial jika tidak menuruti permintaan dan kemahuannya untuk diperkenalkan kepada rakan-rakan suspek.
Gadis malang berusia 15 tahun itu baru berkenalan dengan lelaki tersebut sejak tiga bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima aduan daripada mangsa semalam sekitar jam 4.08 petang selepas lelaki terbabit ugut mahu menyebarkan gambar lucan tersebut.
Pengadu menerima ugutan lucah itu ketika berada di rumahnya di Jinjang menerusi aplikasi pesanan ringkas di Instagram.
Beh berkata, polis sudah memperhebatkan usaha untuk mengesan suspek berkenaan berdasarkan maklumat daripada mangsa.
“Kita tak pasti identiti dia namun cuba mengesan berdasarkan maklumat yang diberikan mangsa,” katanya.
Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Sekyen 233 Akta Komunikasi Multimedia kerana kesalahan menakutkan secara Jenayah dengan jalan perhubungan sembunyi nama dan penggunaan media sosial secara tidak wajar.
Beh meminta orang ramai supaya berhati-hati menggunakan media sosial dan tidak mudah terperdaya dengan individu yang baru dikenali. – MalaysiaGazette