KUALA LUMPUR – PROLINTAS Expressway Sdn. Bhd. (PESB), pemegang konsesi bagi Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) telah membuka semula Kawasan Rehat dan Rawat (RSA) Elmina menghala utara bermula hari ini.
RSA Elmina (utara) sebelum ini ditutup selama empat bulan bagi kerja-kerja penaiktarafan dan kini berwajah baharu dengan menampilkan reka bentuk bangunan dengan konsep industrial minimalist, hiasan dalaman yang lebih segar, ruang rehat yang
lebih kondusif serta seni lanskap yang lebih hijau.
Antara kemudahan yang ditawarkan di RSA Elmina (utara) ini adalah 12 gerai makanan dan minuman yang menyajikan variasi menu menarik.
Selain itu sebuah restoran premium yang menyajikan hidangan sate Kajang oleh Restoran Sate Kajang Haji Samuri yang menyediakan ruang makan yang lebih luas dan kondusif.
Terdapat juga kemudahan tambahan yang disediakan iaitu kiosk-kiosk menjual kudap-kudapan.
Pengguna juga boleh menggunakan fasiliti asas seperti surau yang lebih luas, tandas, serta taman permainan kanak-kanak
Dengan penaiktarafan RSA Elmina (utara) ini, ianya merupakan komitmen berterusan Kumpulan Syarikat PROLINTAS dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengguna lebuh raya seliaanya. – MalaysiaGazette