KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini membidas kenyataan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bahawa rakaman audio didakwa mirip suara Ketua Pembangkang, dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang tular baru-baru ini adalah sahih.
Anwar berkata, kenyataan itu hanyalah pandangan peribadi Azmin yang pernah bersamanya sebelum ini.
“Itu pandangan dia. Pasal video, audio ini dia pandai,” katanya dalam sidang media sempena kemasukan agamawan dan tokoh agama ke PKR, di Seremban hari ini.
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Azmin itu.
Semalam Azmin berkata: “Saya sebagai pegawai telah berkhidmat dengan beliau (Anwar) sekian lama dan merupakan setiausaha sulit beliau yakin itu adalah rakaman sahih yang akan dibuktikan dalam penyiasatan itu.
Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu menggesa supaya siasatan segera dijalankan berhubung rakaman audio terbabit.
Sabtu lalu, Anwar dan Ahmad Zahid dilaporkan akan dipanggil polis bagi merakam keterangan berhubung isu rakaman audio perbualan telefon yang tular.
Malah, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan berkaitan perkara itu dan lapan laporan polis telah diterima setakat Sabtu lalu.
Rakaman video dan audio didakwa mirip suara Ahmad Zahid dan Anwar didedahkan di media sosial pada 7 Aoril lalu, beberapa hari selepas berakhirnya Perhimpunan Agung UMN0 (PAU) 2020.
Audio tersebut dipercayai bermula dengan ucapan Ahmad Zahid ketika bercakap pada Perhimpunan Agung UMNO yang menegaskan bahawa UMNO tidak akan menerima Anwar, DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). – MalaysiaGazette