PUTRAJAYA, – Unjuran untuk kes harian COVID-19 di Malaysia menurun kepada 500 pada Mei kelihatan tidak memberangsangkan ketika ini sebaliknya membimbangkan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.
Ini berikutan kemerosoton kepatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang perlu diberi penekanan serta kerjasama bagi terus memastikan kepatuhannya, katanya.
Dalam sidang media perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bersama Menteri Penyelaras program itu Khairy Jamaluddin di sini hari ini, Dr Adham berkata kadar nilai kebolehjangkitan (Rt) negara ketika ini adalah 1.06.
Sebelum ini, KKM mengunjurkan kes harian COVID-19 boleh menurun sehingga 500 pada Mei mengikut Rt kurang 1.0.
Malaysia mencatatkan jumlah kes positif COVID-19 harian sebanyak 1,739 kes semalam.
Daripada 1,739 kes dicatatkan negara semalam, Sarawak melaporkan kes harian baharu sebanyak 443 kes.
Dr Adham berkata berdasarkan pemantauan dan analisis yang dijalankan bagi 2021, didapati trend COVID-19 di Sarawak semakin meningkat bermula pada 9 Januari lepas.
Menurutnya, sebanyak 39 kluster COVID-19 dikesan di Sarawak sejak awal tahun ini melibatkan komuniti berkaitan perhimpunan, aktiviti sosial dan juga rentas daerah.
Dr Adham berkata beliau dan beberapa pegawai kanan KKM akan ke Sarawak hari ini bagi membincangkan mengenai langkah segera yang perlu diambil, keperluan sumber bagi mengekang penularan jangkitan COVID-19, serta tindakan pencegahan dan kawalan bersama kerajaan Sarawak.
Keperluan sumber itu termasuklah sumber manusia, peralatan perubatan, peralatan perlindungan peribadi (PPE), logistik dan keperluan ujian makmal, katanya.
Beliau berkata mobilisasi dan peralatan serta kesiapsiagaan perlu diambil untuk menangani situasi tersebut di Sarawak termasuk penubuhan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di beberapa kawasan bandar. – MalaysiaGazette