KUALA LUMPUR – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Kepimpinan Pengembaraan dan Akademi Rekreasi Luar (Aurora) telah menjalankan sesi bicara Aurora 5.0 yang bertajuk ‘Kepimpinan dan fasiliti dalam Program Pengembaraan’ baru-baru ini.
Pengarah Pusat Kokurikulum UPSI, Dr Mazuki Mohd Yasim berkata, program ini membuka peluang dan ruang kepada rakan industri pendidikan luar dan rekreasi meningkatkan ilmu pengetahuan dan memperkasakan kualiti kemahiran kepimpinan dan fasilitasi dalam program rekreasi.
“Apa yang menarik dalam webinar antarabangsa kali ini, kami membawakan seorang pakar rekreasi luar antarabangsa, Prof. Dr. Simon Priest selaku penulis buku dan penyelidik hebat dalam bidang itu yang menjadi rujukan industri dan akademia,” katanya dalam kenyataan.
Dalam bicara itu, Dr. Simon Priest memperkenalkan buku ‘Efektif Kepimpinan dalam Pengembaraan’ – yang memaparkan kecekapan dalam kepimpinan rekreasi serta menyediakan kerangka kerja yang mampu membantu pemimpin berkomunikasi dengan pekerja secara berkesan.
Buku ini memberikan asas pengetahuan yang kuat dalam penyelidikan, falsafah, etika dan sejarah kepimpinan rekreasi.
Malah, dalam buku ini juga menjelaskan kepentingan kemahiran yang diperlukan oleh pemimpin, merangkumi kemahiran teknikal, pengurusan risiko dan keselamatan, persekitaran, arahan organisasi serta fasilitasi.
Buku edisi ketiga yang diterbitkan oleh Priest ini akan memberi pengetahuan luas kepada setiap pembaca untuk menjadi seorang pemimpin berwibawa dan dapat memimpin organisasi menjadi sebuah persatuan dan industri rekreasi luar berkualiti hingga ke peringkat persada dunia. -MalaysiaGazette