Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berjalan keluar selepas prosiding taksiran ganti rugi dalam saman fitnahnya terhadap penulis blog, Raja Petra Raja Kamarudin di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 14 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menuntut RM20 juta sebagai ganti rugi am terhadap penulis blog, Raja Petra Raja Kamarudin berhubung kes saman fitnah membabitkan penerbitan artikel dakwaan rasuah dalam projek terowong dasar laut Pulau Pinang pada tahun 2019.

Ahli Parlimen Bagan itu selaku plaintif menuntut ganti rugi am tersebut ketika memberi keterangan pada perbicaraan kes saman fitnah hari ini di hadapan Pesuruhajaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohd Arief Emran Arifin.

Dalam keterangannya, Guan Eng turut memohon kepada mahkamah untuk mentaksirkan ganti rugi teruk berjumlah RM500,000 dan ganti rugi teladan RM500,000.

“Semasa kesemua artikel ini diterbitkan, saya memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan tetapi fitnah yang dilemparkan terhadap saya adalah berkaitan dengan jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.

“Kesemua 20 artikel yang diterbitkan adalah secara bersiri membabitkan 10 artikel dalam versi Bahasa Inggeris dan 10 artikel versi Bahasa Melayu.

“Artikel-artikel itu juga telah dibaca oleh ramai orang yang melayari Internet dan masih belum diturunkan sehingga kini,” katanya.

Guan Eng dalam keterangannya turut menyatakan bahawa amaun yang munasabah bagi ganti rugi adalah RM1 juta bagi setiap artikel.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 26 April depan untuk serahan dokumen manakala 25 Mei sebagai tarikh keputusan taksiran ganti rugi menerusi aplikasi Zoom.

Sementara itu, peguam yang mewakili Guan Eng, Simon Murali ketika ditemui di luar mahkamah menyatakan beliau perlu mengemukakan hujahan lanjut seperti yang diminta oleh mahkamah.

“Setelah membuat keterangan, kita telah mengemukakan hujahan dan Yang Arif telah meminta kami mengemukakan hujahan lanjut untuk meneliti trend mahkamah tentang ‘award’ ganti rugi,” ujarnya.

Media sebelum ini melaporkan, Mahkamah Tinggi menetapkan 14 April untuk mendengar prosiding taksiran ganti rugi yang akan diperoleh Guan Eng dalam saman fitnahnya terhadap Raja Petra.

Pada 28 Februari tahun lalu, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu memperoleh penghakiman ingkar selepas Raja Petra tidak memasukkan kehadiran bagi menjawab saman yang dikemukakan terhadapnya.

Guan Eng memfailkan saman fitnah pada 6 September 2019 berhubung satu siri artikel ‘Dari Fail SPRM’ yang disiarkan dalam kedua-dua versi bahasa Inggeris dan Melayu oleh portal Malaysia Today milik Raja Petra antara 24 Februari dan 15 Mac 2019.

Artikel yang didakwa berunsur fitnah itu adalah berkaitan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan rasuah dalam projek infrastruktur berkenaan.- Malaysia Gazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

Comments are closed.