DUBAI – Sebuah kapal komersial milik syarikat Israel diserang di persisir pantai Emiriah Arab Bersatu (UAE) di perairan Teluk, menurut laporan media pro-Iran dan rangkaian televisyen Israel.
Saluran 12 Israel yang memetik para pegawai negara itu yang tidak mahu dikenali menyalahkan musuhnya, Iran, terhadap serangan tersebut dengan menyifatkannya sebagai serangan peluru berpandu.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan kapal itu meneruskan pelayarannya, kata rangkaian televisyen itu.
Dua sumber keselamatan maritim memberitahu Reuters bahawa sebuah kapal Israel ditembak berhampiran pelabuhan Fujairah, UAE menyebabkan letupan berlaku tetapi tiada kemalangan jiwa.
Para pegawai pejabat Perdana Menteri Israel dan Kementerian Pertahanan Israel enggan mengulas mengenai insiden tersebut.
Seorang jurucakap Kementerian Pengangkutan Israel berkata, beliau sedar mengenai laporan tersebut tetapi enggan mengesahkannya.
UAE tidak mengulas mengenai kejadian tersebut.
Insiden tersebut berlaku sehari selepas Tehran menuduh Israel melakukan sabotaj terhadap sebuah tapak nuklearnya dan selepas Iran dan Amerika Syarikat (AS) memulakan perbincangan tidak langsung di Vienna bagi menyambung semula perjanjian nuklear 2015 dengan Tehran.
Rangkaian televisyen yang berpengkalan di Lubnan, Al Mayadeen yang memetik sumber mengenalpasti kapal tersebut sebagai Hyperion.
Data penjejak kapal, Refinitiv menunjukkan kapal yang mengibarkan bendera Bahamas itu, Hyperion Ray, menuju ke pelabuhan Fujairah dari Kuwait.
Agensi berita, Unews yang berpengkalan di Lubnan berkata, kapal tersebut membawa kereta dan telah berada di pelabuhan Mina Al Ahmadi, Kuwait 48 jam sebelum itu.
Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UKMTO) dalam notis laporannya berkata, ia sedar tentang insiden berhampiran Fujairah itu dan siasatan sedang dilakukan.
Pada bulan lalu, kapal kontena Iran rosak diserang di Laut Mediterranean, dua minggu selepas kapal milik Israel, MV Helios Ray diserang di Teluk Oman.
Menurut pengkalan data syarikat perkapalan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, MV Helios Ray dan Hyperion Ray, mempunyai pemilik yang sama.
Insiden berlaku sejak Joe Biden yang menjadi Presiden AS pada Januari lalu komited untuk menyertai semula pakatan nuklear 2015, yang ditinggalkan negara itu ketika ditadbir Donald Trump yang mana Israel mengalu-alukan tindakannya, jika Tehran kembali patuh sepenuhnya dengan perjanjian tersebut.
Iran berkata, ia akan mula memperkayakan uranium kepada 60 peratus tulen, langkah yang membolehkan pembelahan nuklear menghampiri 90 peratus yang mana ia sesuai untuk senjata nuklear. – MalaysiaGazette