KUALA LUMPUR – Bank Simpanan Nasional (BSN) memperkenalkan kempen ‘Raya Cash Back’ yang memberi peluang kepada pelanggan kad kreditnya untuk memenangi hadiah-hadiah pulangan tunai bernilai sehingga RM140,000.
Ketua Pegawai Perniagaannya, Mujibburrahman Abd Rashid berkata, kempen yang berlangsung dari 1 April lalu hingga 31 Julai ini terbuka kepada semua pelanggan kad kredit utama BSN baharu dan sedia ada.
Jelasnya, untuk menyertai kempen itu mereka yang layak hanya perlu membuat perbelanjaan runcit dengan kad kredit BSN serta tidak perlu mengisi sebarang borang penyertaan mahupun menghantar SMS kerana penyertaan adalah secara automatik.
“Setiap perbelanjaan RM50 dalam satu resit, mereka layak mendapat satu penyertaan manakala bagi setiap perbelanjaan dalam talian bernilai RM50 dalam satu resit layak mendapat dua penyertaan.
“Selain itu, bagi setiap RM50 daripada perbelanjaan RM1,000 dalam satu resit serta setiap perbelanjaan RM50 dengan Pelan 0% EasyPay BSN dalam satu resit pula layak mendapat tiga penyertaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Mujibburrahman berkata pemenang hadiah utama bakal membawa pulang wang tunai sebanyak RM20,000 manakala empat orang pemenang hadiah bulanan sepanjang tempoh kempen ini pula bakal memenangi wang tunai sebanyak RM5,000 setiap seorang.
“Sementara itu, seramai 200 orang pemenang hadiah sagu hati akan dipilih sepanjang tempoh kempen dan bakal memenangi wang tunai sebanyak RM500 setiap seorang.
“Transaksi perbelanjaan runcit yang layak untuk menyertai kempen ini adalah transaksi perbelanjaan runcit tempatan, dalam talian dan transaksi Pelan 0% EasyPay BSN yang menggunakan kad kredit BSN mereka sepanjang tempoh pertandingan berlangsung,” ujarnya.
Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh mengunjungi cawangan BSN di seluruh negara atau layari laman web BSN www.bsn.com.my atau hubungi pusat perhubungan pelanggan BSN melalui talian 1300-88-1900. -MalaysiaGazette