Sampel tiga botol, setiap satu mempunyai Vaksin teratenuat Adenovirus Unggas berasaskan CRISPR sebanyak 500ml.

KUALA LUMPUR – Kumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menghasilkan vaksin teratenuat adenovirus unggas berasaskan Clustered Regularly Interspaced Short Palindromic Repeats (CRISPR).

Ia berupaya merangsang keputusan titer antibodi yang tinggi terhadap jangkitan adenovirus unggas dan mudah diberikan kepada ayam serta berupaya melindunginya daripada penyakit Inclusion body hepatitis (IBH).

Ketua kumpulan penyelidiknya, Prof. Madya Dr. Nurulfiza Mat Isa berkata, inovasi ini mengandungi ciri khas pada jujukan genotip adenovirus unggas yang dihasilkan secara inovatif dengan cara menghilangkan keperluan untuk pemindahan terus menerus untuk atenuasi virus, yang secara tidak langsung mengurangkan kos dan tempoh masa penghasilan.

Jelasnya, ciri khas ini menjadikannya kurang virulen, imunogenik dan sesuai digunakan di kebanyakan negara yang dijangkiti adenovirus unggas.

“Inovasi ini juga menawarkan pemberian vaksin melalui kaedah oral selain penyediaan dalam skala besar yang mudah dikendali, secara tidak langsung mengurangkan kos dan tempoh masa penyediaan di ladang.

Ketua kumpulan penyelidiknya, Prof. Madya Dr. Nurulfiza Mat Isa bersama tiga botol Vaksin teratenuat Adenovirus Unggas berasaskan CRISPR.

Live attenuated Fowl Adenovirus (FAdV) adalah agen etiologi penyakit IBH. IBH adalah penyakit utama virus FAdV yang menyebabkan kerugian ekonomi yang besar pada ladang-ladang ayam atau unggas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Dr. Nurulfiza, vaksin ini membabitkan pengubahsuaian pada protein serat virus, seterusnya mengubah jujukan genotip FAdV menjadi vaksin yang kurang virulen, stabil secara genetik, imunogenik serta boleh diaplikasi di negara-negara yang dijangkiti FAdV.

“Selain itu, vaksin ini juga adalah virus Fowl Adenovirus UPMT27 jenis liar yang telah diubah suai dan termutasi secara fizikal, seterusnya menyumbang kepada kegagalan protein serat untuk berfungsi dengan baik.

“Adenovirus unggas terubah suai ini adalah hasil penyuntingan genom menggunakan teknologi CRISPR dalam sel hati ayam primer, yang kemudian disahkan, dituai dan dibiakkan dalam embrio ayam SPF untuk proses komersialisasi selanjutnya,” ujarnya.

Beliau berkata, vaksin yang telah dilemahkan itu boleh diberikan melalui mulut, dan mudah dibawa ke perut melalui sistem pencernaan untuk diproses.

Ia dihasilkan dalam bentuk serbuk dan perlu dicampur dengan air untuk minuman, dan boleh diberi kepada anak ayam yang berusia satu hari. Sekali pemberian atau satu dos sudah memadai untuk setiap ekor ayam.

“Kemasukan awal adenovirus unggas yang dilemahkan ke dalam sel bergantung kepada interaksi perlekatan protein serat dengan sel reseptor perumah. Modifikasi pada kawasan poros protein serat adenovirus unggas ini akan mengganggu fungsi protein tersebut seterusnya memberi kesan kepada interaksi yang tidak sempurna,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr. Nurulfiza menyatakan hal itu akan mengambil masa dan membolehkan sel perumah haiwan menghasilkan lebih banyak antibodi terhadap adenovirus unggas tersebut disebabkan oleh aktiviti internalisasi dan peneutralannya yang lemah.

“Penemuan itu melibatkan penggunaan teknologi CRISPR bagi menghasilkan virus teratenuat yang dilemahkan berbanding kaedah konvensional yang memerlukan proses atenuasi secara berterusan dalam kultur sel atau embrio ayam, yang mengambil masa yang panjang selain mahal dan terdedah kepada kesilapan teknikal.

“Vaksin ini mudah dihasilkan dan menjimatkan kos, serta sesuai untuk aplikasi industri,” jelasnya.

Selain beliau, ahli kumpulan penyelidik lain ialah Prof. Datuk Dr. Mohd Hair Bejo, Prof. Dr. Abdul Rahman Omar, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris, Prof. Madya Dr. Mariatulqabtiah Abdul Razak serta Salisu Ahmed.

Penyelidikan inovasi itu bermula Mac 2018 dan tamat Disember 2020 malah Produk ini turut memenangi pingat emas pada International Expo on Inventions and Innovations – Malaysia Technology Expo (MTE) 2021. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast