SHAH ALAM – Seorang pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Jenayah 1 di sini, atas tuduhan meminta rasuah.
Mohd Izral Md. Sani, 38, didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 pilihan Seksyen 165 Kanun Keseksaan (KK).
Beliau tiba di Kompleks Mahkamah Shah Alam, kira-kira jam 9 pagi ini dengan diiringi pegawai penyiasat SPRM, PPs Roswadi Abdullah ke bilik perbicaraan.
Bagaimanapun, kesnya dipindah ke Mahkamah Sesyen Jenayah 3, berikutan Hakim Rozilah Salleh menghadiri mesyuarat.
Mengikut fakta kes, pada 12 Mac 2019, kira-kira jam 3 petang, pengadu telah dihubungi Mohd Izral yang memperkenalkan diri sebagai pegawai penyiasat KPDNKK.
Dalam panggilan itu, Mohd Izral meminta pengadu wang rasuah sebanyak RM9,000 sebagai balasan melepaskan tiga pasport pekerja Bangladesh pengadu yang telah ditahan pada 7 Mac 2019 ketika pemeriksaan di Jalan Teruntum 12, Meru, Klang.
Hasil maklumat dari pengadu, pegawai SPRM telah memasang perangkap dan berjaya menangkap tertuduh dan disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 pilihan Seksyen 165 KK.
Sementara itu, seorang pengarah syarikat dikenakan hukuman penjara 30 hari dan denda RM30,000 atas pengakuan bersalah cuba merasuah seorang kakitangan Pejabat Daerah dan Tanah Klang pada 23 Mac lalu.
Hakim, Rozilah Saleh menjatuhkan hukuman ke atas Ang Boon Chin, 60, berkuatkuasa hari ini selepas menerima pengakuan bersalah pemilik syarikat Gallex Enterprise Sdn. Bhd. itu.
Hukuman itu, termasuk tambahan penjara tiga bulan jika beliau gagal membayar denda RM30,000 selepas mahkamah mendapati perbuatan tersebut sangat serius kerana menceroboh tanah kerajaan.
Pada masa sama, mahkamah memandang serius perbuatan itu kerana suapan berjumlah RM10,000 oleh pengarah terbabit kepada kakitangan kerajaan itu bertujuan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.
“Anda telah melakukan kesalahan yang sangat serius iaitu cuba merasuah kakitangan kerajaan bagi mengelakkan anda disiasat atas kesalahan menceroboh tanah rizab kerajaan di Rizab Sungai Aur, Klang.
“Memandangkan anda mempunyai rekod kesihatan, iaitu penyakit jantung dan sudah berumur 60 tahun, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 30 hari mulai hari ini dan denda RM30,000,” kata Rozilah.
Peguam bela, Lo Mei Na dari Tetuan WDLOH and Associates memohon mahkamah meringankan hukuman memandangkan anak guamnya sudah berusia, sedar serta insaf dengan perbuatannya dan ini merupakan kesalahan pertamanya.
Katanya, anak guamnya juga berjanji tidak akan mengulangi lagi perbuatan merasuah, walaupun sebanyak RM1 kerana insaf dengan pengajaran yang diterimanya ini.
Boon Chin menghadapi pertuduhan bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 pilihan Seksyen 214 Kanun Keseksaan.
Pegawai penyiasat SPRM ialah PPs Suria Ayyub Daneil Tomo dan pihak Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Fadhli Ab. Wahab.
Mengikut fakta kes, pada 23 Mac lalu, kira-kira jam 5.45 petang, Boon Chin telah menyerahkan satu samput surat mempunyai wang tunai RM10,000 kepada kakitangan kerajaan yang menjalankan siasatan atas tuduhan menceroboh tanah rizab Pejabat Tanah dan Daerah Klang.
Wang itu diberikan dengan tujuan supaya tiada tindakan undang-undang diambil ke atasnya. – MalaysiaGazette