JOHOR BAHRU – Polis sedang menyiasat kejadian seorang pelajar Tingkatan 2 dipukul dalam serangan melibatkan sekumpulan remaja, selepas video peristiwa itu tular di media sosial hari ini.
Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay ketika diminta mengesahkan kejadian itu memberitahu MalaysiaGazette insiden itu kini dalam siasatan.
“Kes itu akan kami siasat dan ianya masih dalam siasatan,” katanya ringkas.
Sementara itu,Ketua Polis Johor Bahru Selatan, (JBS) Mohd Padzli Mohd Zain yang dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu pada malam Khamis minggu lalu.
“Pengadu telah membuat laporan yang dia telah ditampar tiga lelaki yang tidak dikenali,”katanya.
Difahamkan polis telah pun membuat tangkapan, namun beliau meminta media menunggu kenyataan lengkap mengenai perkara itu
Berdasarkan video 53 saat itu menunjukkan mangsa dipercayai dikepung dan ditampar kerana mempersendakan seorang individu yang digelar “Abang Vadai”.
Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan seksaan kerana menyebabkan cedera, manakala Seksyen 506 KK berkenaan kesalahan menakutkan secara jenayah.
Dalam pada itu, kes berkenaan turut mendapat perhatian Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan yang mahukan pembelaan pihak polis untuk pelajar yang dipukul gara-gara “Abang Vadai.” – MalaysiaGazette