Longgokan sampah-sarap punca pembiakan aedes. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sampah-sarap atas jalan raya yang kemudiannya  tersumbat di longkang dikenal pasti penyumbang besar kepada banjir kilat di ibu negara.

Selain itu, infrastuktur pengairan air yang lemah dan tidak mampu menampung kapasiti air hujan yang banyak akibat perubahan iklim juga memburukkan lagi keadaaan.

Pengarah Eksekutif Pelaksanaan Projek Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Azmi Abdul Hamid berkata, pihak berkuasa tempatan itu sedang mencari mekanisme sesuai dan terbaik bagi mengatasi banjir kilat  yang semakin meruncing.

Mekanismenya  memantau longkang-longkang dan menaik taraf jika ada keperluan.

“Awal minggu ini (12 dan 13 April lalu) hujan lebat dan banjir kilat berlaku di ibu negara. Contohnya, di sekitar Cheras berlaku taburan hujan yang lebih tinggi berbanding biasa sekali gus menyebabkan kawasan di sekitar Stadium Bola Sepak, Cheras dinaiki air mencecah 0.3 meter.

“Faktor pertama secara umum disebabkan infrastruktur pengaliran air kita yang tidak berupaya mampu menampung kapasiti air yang banyak dalam satu-satu masa. Jika hujan dalam keadaan biasa pada kadar 20 milimeter (mm) tiada masalah.”

“Yang kedua, hujan lebat ini akan membawa sampah sarap sedia ada di atas jalan raya, antaranya daun-daun kering atau plastik, mengakibat aliran longkang tersumbat dan menyebabkan banjir kilat yang teruk,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

Azmi Abdul Hamid

Setakat ini, menurutnya, terdapat sebanyak 17 kawasan panas dan berisiko banjir di Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, DBKL juga mengenal pasti sebanyak 11 kawasan Parlimen dengan 171 lokasi yang kerap terjejas akibat banjir kilat.

Kawasan-kawasan itu ialah Bukit Bintang (30), Batu (25), Segambut (23), Cheras (22), Titiwangsa (18) dan Seputeh (14).

Wangsa Maju (11), Bandar Tun Razak dan Kepong masing-masing (9), Setiawangsa (7) dan Lembah Pantai (3).

Azmi berkata, satu jawatankuasa khas telahpun ditubuhkan bagi memantau ‘kawasan panas’ (kawasan banjir kilat) untuk mengenal pasti kekerapan berlakunya banjir kilat dan petugas khas akan bertindak bagi mengatasi insiden itu.

Pengarah Eksekutif Pelaksanaan Projek DBKL, Datuk Azmi Abdul Hamid menunjukkan gambar berkenaan isu banjir di Kuala Lumpur akibat peralihan monsun ketika temubual eksklusif bersama Malaysia Gazette di Menara DBKL, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 15 APRIL 2021.

Pasukan itu, ujarnya, akan melakukan pemantauan melalui kamera litar tertutup dan aduan orang awam.

Melalui saluran-saluran maklumat ini, DBKL akan menghantar pihaknya untuk melakukan pembersihan di kawsan yang terjejas agar saliran air itu berjalan lancar.

Selasa lalu, banjir kilat dan hujan lebat berserta angin kencang telah melanda ibu negara menyebabkan pokok tumbang, tiang elektrik patah, papan tanda tercabut dan khemah peniaga bazar rosak ditiup angin kencang.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Cheras paling banyak berlaku pokok tumbang

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast