Anggota Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjalankan kerja-kerja memotong dahan pokok yang tumbang akibat hujan lebat dan angin kencang lewat petang tadi di Jalan Sultan Ismail susur keluar Jalan Kuching arah Jalan Kinabalu, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 15 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 130 aduan membabitkan pokok tumbang diterima oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ketika hujan lebat melanda ibu negara pada hari Isnin dan Selasa lalu.

Paling banyak laporan diterima di Cheras iaitu 49 laporan manakala Titiwangsa dan Batu masing-masing (15), Bukit Bintang (11) dan Bandar Tun Razak (10).

Pengarah Eksekutif Pelaksanaan Projek (DBKL), Datuk Azmi Abdul Hamid berkata, kebanyakan insiden pokok tumbang membabitkan pokok yang sudah berusia dan baru ditanam yang rosak disebabkan angin kencang.

Azmi Abdul Hamid

”Selepas kita menerima aduan itu, tindakan pertama yang kita  melaksanakan ialah membersihkan segera pokok tumbang atau dahan yang menghalang lalu lintas agar pergerakan trafik lancar.

“Setelah langkah pengalihan itu diambil, barulah kita mulakan sesi pembersihan dalam masa terdekat dan secara keseluruhannya tindakan ini dilaksanakan dalam satu hari,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Tambah Azmi, dalam keadaan cuaca tidak menentu kini, DBKL sentiasa memantau keselamatan pokok-pokok di sekitar ibu negara.

Kejadian pokok tumbang akibat hujan lebat meresahkan orang ramai terutama pengguna jalan raya.

Kebimbangan ini apabila seorang penghantar makanan maut selepas dihempap pokok tumbang ketika hujan lebat dan ribut petir di Taman Len Seng, Cheras sekitar jam 4 petang semalam.

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Video berdurasi 18 saat itu menunjukkan orang ramai dalam keadaan hujan lebat membantu mengangkat mangsa menghala ke stesen minyak Petronas berdekatan sebelum dibaringkan di perkarangan kawasan itu. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Penghantar barang meninggal dunia dihempap dahan pokok