KUALA LUMPUR – Seorang maut kerana terbakar seluruh badannya selepas kereta dipandunya melanggar tiang Transit Aliran Ringan (LRT) di Lebuh Raya Persekutuan berhampiran Petaling Jaya hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Supritendan M. Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata, mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum kereta Honda Accord dipandunya terbabas.
Kejadian berlaku pada pukul 6.20 pagi.
“Mangsa dibawa ke forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya dan sehingga kini maklumat mangsa tidak dapat dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan.
Kes disiasat di Bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, sesiapa yang mempunyai rakaman pemuka kenderaan semasa kejadian dimohon tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Muhammad Hisyam Azih di talian 017-737 8704 atau Ibupejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-796 62222 bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette