Gambar Iskandar 'berkonvo' di hadapan rumahnya dengan menerima skrol ijazah daripada Abang J&T yang mendapat perhatian warganet pada Disember lalu

NILAI – Dari sekadar berkongsi sekeping gambarnya tersenyum gembira menerima skrol ijazah yang ‘disampaikan’ oleh Abang J&T di depan rumahnya di akaun Twitter, Muhammad Iskandar Zulkarnain Shamsul Bahar,24, tidak menyangka ia akan menjadi tular di media sosial sehingga dijadikan berita oleh laman portal berita online.

Hantaran gambar dengan kapsyen ‘Alhamdulillah, done degree” yang dibuat sekitar Disember tahun 2020 itu mendapat lebih lapan ribu tanda suka dan seribu lebih perkongsian semula di media sosial terbabit.

Iskandar yang merupakan graduan Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa dengan Kepujian dari Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) antara graduan universiti awam dan swasta yang terkesan dengan penularan pandemik Covid-19 apabila kebanyakan intitusi pengajian tinggi menangguhkan pelaksanaan majlis konvokesyen masing-masing pada tahun lalu.

Memandangkan Majlis Konvokesyen USIM ditangguhkan ketika itu, beliau dan rakan-rakan yang lain menerima skrol ijazah masing-masing hanya dengan mengambilnya di kampus atau menerimanya melalui perkhidmatan pos.

”Pastinya sedih tiada Majlis Konvokesyen ketika itu, jadi saya ambil gambar menerima skrol dengan Abang J&T untuk dijadikan momen manis telah berjaya menamatkan pengajian dan saya kongsikan di media sosial.

”Tidak sangka ia menjadi tular dalam masa yang singkat dan mendapat komen yang positif dan kata semangat daripada warganet,” katanya.

Selepas ‘konvo’ di depan rumah, Iskandar akhirnya berpeluang di raikan dalam majlis konvokesyen yang sebenar oleh USIM.

Iskandar merima Anugerah Canselor daripada Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud pada majlis konvokesyen USIM baru-baru ini.

Lebih bermakna buat dirinya dan keluarga apabila beliau menaiki pentas utama untuk menerima anugerah daripada Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar baru-baru ini.

Majlis Konvokesyen Kali Ke-18 USIM yang akan berakhir pada Ahad ini telah disempurnakan pembukaannya oleh Tuanku Aishah selaku Canselor pada 6 April lalu bertempat di Dewan Tuanku Canselor.

Pada majlis ini, Iskandar yang berjaya menamatkan pengajiannya dengan cemerlang dengan memperoleh Ijazah Kelas Pertama selain turut aktif dalam aktiviti badan pelajar dan kokurikulum di universiti dipilih sebagai penerima Anugerah Canselor. “Bersyukur dapat juga diraikan dalam Majlis Konvokesyen walaupun tidak dalam suasana majlis kebiasaannya. Setelah sekian lama tertangguh, kesediaan universiti untuk menganjurkan majlis konvokesyen untuk kami secara langsung merupakan satu bentuk penghargaan USIM kepada para graduannya”.

Iskandar yang sedang melanjutkan pengajian kini dalam Diploma Lanjutan Kehakiman dan Guaman Syarie pernah menganggotai Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Kelab Debat dan Sekretariat Pelajar Fiqh dan Fatwa menjadikan tips bijak mengatur masa dan tidak bertangguh melakukan sesuatu kerja sebagai rahsia kejayaannya.

Menyimpan cita-cita untuk menjadi Hakim Mahkamah Syariah, Iskandar teguh berpegang kepada satu nasihat yang menjadi pedomannya selama ini iaitu ‘Bersaing bukan berlawan, kerana berlawan sifatnya menjatuhkan tetapi bersaing perlukan kita lebih baik daripada orang lain. Percayalah usaha tak akan mengkhianati hasil’. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast