Gambar hiasan

SELARI dengan perkembangan teknologi, pengiklanan produk kepada pengguna kini lebih mudah. Jika pada suatu masa dahulu pengiklanan hanya terlihat di suratkhabar, majalah televisyen ataupun di papan-papan tanda, kini pengiklanan produk lebih tertumpu secara atas talian ataupun online.

Dapat juga diperhatikan kebanyakan iklan-iklan di media sosial pada masa kini banyak tertumpu kepada pengunaan artis dan influencer yang mempunyai bilangan pengikut yang ramai sebagai model untuk menarik orang ramai. Sejak beberapa tahun
kebelakangan ini, situasi ini turut berlaku kepada rawatan pergigian. Kelihatan di media sosial iklan-iklan pemutihan gigi, pendakap gigi dan juga rawatan veneer dipamerkan oleh individu tidak bertauliah.

Lebih menyedihkan apabila dilihat rawatan-rawatan ini dilakukan di rumah dan di hotel yang tidak diketahui tahap kebersihannya. Dari aspek kebersihan, di klinik yang bertauliah pembersihan peralatan dilakukan dengan memanaskan instrument tersebut
menggunakan mesin autoclave untuk mensterilkan peralatan.

Ini tidak berlaku bagi pengamal pergigian palsu di mana alat-alat yang digunakan hanya dibasuh dengan sabun atau direndam di dalam air panas, sebelum digunakan kepada pelanggan yang seterusnya. Ini adalah berbahaya dari segi jangkitan silang terutama bagi prosedur yang melibatkan cecair badan seperti darah dan air liur.

Siapakah di antara kita yang tidak mahu kelihatan cantik dan menarik? Rupa paras dan gaya adalah perkara pertama yang dilihat apabila kita melihat seseorang pada pandang pertama. Kesedaran terhadap keperluan rawatan pergigian juga adalah tren yang positif namun apa yang membimbangkan adalah kewujudan pengamal pergigian tidak bertauliah, tanpa kelayakan yang hanya berbekalkan sijil estetik.

Bahkan ada antara mereka yang hanya berpandukan video-video di Youtube sebelum melakukan rawatan kepada pelanggan. Trend ini amatlah membimbangkan kerana umum haruslah sedar kesan daripada penggunaan perkhidmatan doktor gigi palsu ini amat memudaratkan kepada kesihatan pergigian.

Walaupun pada pandangan lahiriah rawatan pergigian hanya melibatkan gigi, prosedur rawatan pergigian adalah kompleks dan kerana itu lima tahun diperlukan untuk menamatkan pengajian sebelum menjadi doktor pergigian.

Ingin kami bawa pembaca untuk memahami sedikit sebanyak proses rawatan pergigian. Apabila pesakit pertama kali datang ke klinik, soalan-soalan berkaitan isu pergigian yang dialami pesakit, sejarah perubatan dan pergigian di samping pemeriksaan di dalam mulut perlu dilaksanakan terlebih dahulu untuk mengenal pasti masalah. Ini untuk menjamin rawatan yang diberikan adalah bersesuaian dengan keadaan pesakit.

Selepas pemeriksaan dijalankan, perbincangan mengenai rawatan yang sesuai akan dilakukan untuk memastikan kefahaman
dan mendapat persetujuan daripada pesakit. Adalah menjadi hak bagi pesakit untuk mengetahui kebaikan atau kesan sampingan daripada setiap rawatan yang diberikan kepada mereka.

Prosedur ini tidak dilakukan di kalangan pengamal pergigian yang tidak bertauliah, yang mana rawatan dilakukan adalah bersifat one size fit all dan hanya berpandukan kepada kehendak pelanggan dan bukannya keperluan. Rawatan pergigian yang diberikan oleh mereka juga hanya melibatkan kecantikan sementara seperti veneer atau pendakap gigi yang dibeli secara pukal di atas talian tanpa menggunakan pembekal bahan pergigian yang sah.

Malahan terdapat antara mereka yang hilang selepas ‘rawatan’ diberikan dan apabila kesan sampingan mula berlaku di dalam mulut pelanggan. Walaupun kebanyakan daripada mereka meraih pelanggan dari media sosial, terdapat juga mereka yang memperolehi pelanggan seakan jualan langsung dari pintu ke pintu menyasarkan warga emas yang ingin membuat gigi palsu.

Rawatan dilakukan dengan menuang bancuhan akrilik secara terus ke dalam mulut dan gigi palsu disusun ketika akrilik masih lembut. Pastinya pesakit akan hadir ke klinik gigi selepas beberapa bulan untuk mendapatkan bantuan kerana
tidak dapat mengeluarkan gigi palsu.

Akrilik dalam bentuk cecair adalah bersifat toksik dan pemeruapan akrilik memerlukan kebuk wasap untuk mengelakkan daripada terhidunya wasap toksik tersebut. ‘Rawatan’ ini juga akan menyebabkan kerosakan teruk kepada gusi dan
menyebabkan gigi pesakit goyang sehingga ada yang menyebabkan gigi tercabut selain menyebabkan mulut berbau kerana tidak dapat membersihkan kawasan mulut dengan sempurna.

Tanpa ilmu mana mungkin mereka ini dapat mengenal pasti masalah pergigian sedia ada dan permasalahan yang tidak dirawat akan membawa mudarat kerana rawatan pergigian dilakukan tanpa mengikut kaedah yang betul. Pembuatan gigi palsu ini adalah berbeza dengan gigi palsu di klinik pergigian bertauliah di mana acuan diambil terlebih dahulu agar kedudukan gigi palsu nanti adalah bersesuaian dengan pesakit dan tidak merosakkan gigi sedia ada.

Gigi palsu wajib ditanggalkan setiap malam sebelum tidur, agar gigi asli yang masih ada dapat dibersihkan seterusnya mengelak penyakit gusi. Pembuatan gigi palsu yang teliti di klinik pergigian bukan sahaja menyediakan pesakit dengan gigi palsu untuk memudahkan aktiviti seharian, bahkan menjaga gigi sedia ada agar tidak terdedah kepada penyakit gusi dan lain-lain.Dalam kalangan individu yang mementingkan kecantikan warna gigi, rawatan veneer pasti menjadi pilihan.

Senyuman menawan para artis dengan veneer gigi berwarna putih menambah keinginan para pengguna untuk melakukan rawatan ini. Namun, segelintir pengamal pergigian tidak bertauliah tidak mempedulikan asas pergigian seperti membuat veneer yang terlalu besar
dari saiz gigi asal sehingga menjadikan celah-celah gigi sukar dibersihkan. Selain itu, terdapat permukaan kasar yang menjadi tempat pembiakan bakteria, plak dan seterusnya jika tidak dibersihkan, mengeras menjadi karang gigi.

Secara amnya walaupun tanpa gigi palsu atau veneer yang menyukarkan pembersihan gigi, kebersihan mulut rakyat Malaysia masih di tahap yang membimbangkan. Statistik Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2010 menunjukkan bahawa 93.4% dari penduduk Malaysia mengalami masalah gusi. Ini menunjukkan kesedaran terhadap kebersihan mulut dalam kalangan rakyat Malaysia amatlah rendah dan perlukan perhatian.

Oleh itu, besar harapan kami agar pesakit memilih untuk pergi ke klinik pergigian bertauliah. Pada jangka masa panjang,
rawatan yang betul adalah sangat berbaloi dan menyelamatkan poket anda, dari terpaksa membayar harga kerosakan gigi pada masa akan datang.

Pergigian adalah suatu cabang ilmu yang penting dan melibatkan bukan sahaja kesihatan gigi bahkan kesihatan mulut dan keseluruhan tubuh banda. Tanpa gigi, manusia tidak mampu makan dengan baik, sukar bercakap, mempengaruhi aktiviti sosial seterusnya memburukkan lagi keadaan mental dan fizikal seseorang.

Meskipun kecil, gigi tetap patut dijaga dengan baik dan sebarang rawatan pergigian haruslah dilakukan oleh pengamal pergigian
bertauliah. Jagalah kesihatan mulut untuk senyuman yang manis sehingga ke anak cucu.

Dr Hazira M Yusof & Dr Nur Ayman Abdul Hayie
Pensyarah Pergigian dan Pakar Prosthodontik

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast