Timbalan Ketua Polis Daerah Serdang, Supt Mohd Rosdi Bin Daud menunjukkan hasil rampasan ketika sidang media berkenaan kejayaan merampas 9 kg dadah jenis syabu dan kegiatan melombong Bitcoin di IPD Serdang. Foto FIKRI YAZID, 19 APRIL 2021.

SERDANG – Dua warga China yang bekerja sebagai penjaga premis melombong BitCoin yang mencuri elektrik diberkas polis dalam serbuan yang dilakukan polis Serdang ke atas tiga premis di Atmosphere 5, Pusat Perdagangan Bandar Putera Permai di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Mohd Rosdi Daud berkata, serbuan itu dilaksanakan dengan bantuan pasukan Seal Team Tenaga Nasional Berhad (TNB) Selangor pada jam 3 petang pada Khamis lalu.

“Hasil serbuan polis berjaya menahan seorang lelaki dan seorang wanita warganegara China berusia lingkungan antara 32 hingga 38 tahun dipercayai penjaga kepada premis melombong BitCoin tersebut.

“Siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampu dan tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan soal siasat polis, mereka mengakui berada di negara ini selama enam bulan semata-mata untuk bekerja sebagai penjaga premis melombong BitCoin itu.

“Mereka masing-masing dibayar gaji bulanan RM4,000 untuk menjaga premis itu,” katanya pada sidang media hari ini.

Menurut Mohd Rosdi, polis turut melakukan pengintipan selama 19 jam sebelum melakukan serbuan pada jam 5 petang Sabtu lalu di Jalan Damai Tiga, Taman Damai Utama, Bandar Kinrara yang digunakan untuk aktiviti perlombongan Bitcoin.

Operasi yang turut disertai Team Seal TNB itu menemui mesin yang digunakan untuk menjana elektrik bagi melombong BitCloin.

Mohd Rosdi berkata, ia merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 37(1), 37(3), 37(14) Akta Bekalan Elektrik 1990 dengan melakukan pemasangan milik TNB di premis berkenaan.

“Kedua-dua kejayaan serbuan itu membawa kepada rampasan 297 mesin lombong BitCoin anggaran rampasan berjumlah RM100,000.

“Soal siasat mendapati kedua-dua premis itu terlibat operasi melombong itu secara haram selama lebih sebulan.

“Hasil kecurian tenaga elektrik untuk perlombongan itu mengakibatkan TNB kerugian RM130,000 sebulan dengan nilai pasaran semasa BitCoin RM260,000,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast