Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) 10X Valley berlangsung baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Chin Hin Property Bhd. telah bekerjasama dengan 10XCEOs Sdn Bhd untuk membangunkan 10X Valley iaitu pusat perniagaan dan transformasi kehidupan bernilai RM5 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Chin Hin Group, Chiau Haw Choon berkata, pusat itu dijadualkan siap pada suku ketiga 2023 yang terdiri daripada 660 unit ruang pejabat, kedai runcit, loteng dupleks dan pangsapuri servis.

“Pada dasarnya Chin Hin Property akan melabur dalam kemudahan yang akhirnya akan diuruskan oleh 10X CEOs,” katanya pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di sini baru-baru ini.

10X CEOs adalah platform bimbingan perniagaan global yang bertujuan untuk merangsang dan memperkasakan perniagaan untuk berkembang dan melakukan transformasi.

Chiau berkata, hub seluas 80,000 kaki persegi akan menjadi platform bagi kedua-dua pihak untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk bersedia menawarkan penawaran awam awal (IPO) dan juga bersedia untuk francais.

Jelasnya, 10X Valley juga merangkumi hab penyumberan luar global, dewan persidangan berkapasiti 500 tempat duduk dan ruang pertemuan setrta pejabat bersama.

Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif 10XCEO Joescher Chee, pusat itu akan menjadi pusat sehenti untuk penyelesaian perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang membolehkan ahli berkongsi sumber dan mendapat akses dalam rangkaian perniagaan.

Beliau berkata, syarikat itu juga bertujuan untuk melindungi 1,000 PKS di 10X Valley sambil menambah bahawa sekurang-kurangnya 10 syarikat akan bersedia untuk tawaran awal awam (IPO) apabila 10X Valley mula beroperasi pada tahun 2023.

Chee percaya bahawa bengkel dan latihan yang diberikan akan meningkatkan tahap kejayaan usahawan dan mengesan pertumbuhan mereka dengan pantas.

Usahawan elit terpilih di kalangan ahli 10X Valley akan mendapat akses eksklusif kepada rakan pembiayaan 10X Valley mulai daripada pembiayaan modal, pelabur, kapitalis teroka, firma ekuiti swasta, pembiayaan pra-IPO hingga bank pelaburan, tambahnya. – MalaysiaGazette