Gambar Hiasan. Foto MOHD ADZLAN, 12 APRIL 2021.

RAMADAN datang lagi. Syukur masih diberi kesempatan untuk menggandakan amal ibadah pada bulan yang suci lagi diberkati ini. Pintu rahmat, pintu syurga, pintu taubat dibuka seluas-luasnya. Ramadan bagaikan ‘tawaran mega’ daripada Allah SWT bagi menghapus dosa, menambah pahala dan meningkatkan darjat hamba-hamba-Nya menjadi orang-orang yang bertakwa (muttaqin).

Melalui ibadah puasa, ia mendidik diri untuk mengekang nafsu makan hanya kerana Allah. Lebih istimewa, puasa satu-satunya ibadah yang Allah sendiri mengganjarinya. Paling istimewa pada bulan Ramadan, umat Islam dianugerahkan dengan lailatulqadar (Malam al-Qadar) iaitu malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan (83 tahun 4 bulan).

Mereka yang beribadah pada malam ini seolah-olah beramal selama lebih 83 tahun. Masya-Allah, hebatnya ganjaran daripada lailatulqadar. Itu baru satu malam, belum lagi jika beramal pada setiap tahun, belasan tahun atau puluhan tahun. Amatlah rugi bagi seseorang Muslim yang tidak merebut tawaran keemasan ini dan akhirnya dosa-dosanya tidak diampunkan setelah berlalunya Ramadan.

Dengan menahan lapar, puasa mengajar erti kemanusiaan, mengajar erti empati dan simpati kepada golongan fakir, miskin, anak yatim, ibu tunggal dan mereka yang amat memerlukan, termasuklah pelarian serta mangsa konflik dan peperangan. Ditambah lagi dengan pandemik Covid-19 yang memasuki tahun kedua, amat ramai yang terkesan yang mana ratusan ribu hilang pekerjaan kerana syarikat ingin mengurangkan pekerja bagi mengurangkan kos operasi, atau syarikat gulung tikar terus. Ada yang terpaksa mencari
kerja lain atau bekerja sendiri sebagai alternatif untuk menampung sara hidup.

Selain peranan kerajaan yang sedikit sebanyak turut membantu mereka, inilah masanya masyarakat kita membuktikan keprihatinan kepada mereka yang memerlukan lebih-lebih lagi pada musim pandemik ini. Kekasih kita, Muhammad Sallallahualaihiwasallam (SAW) memberikan contoh yang terbaik dan bermakna untuk kita semua mengikutinya dengan merancakkan lagi bantuan dan kebajikan pada bulan yang mulia ini.

Daripada Ibnu Abbas RA dia berkata, “Rasulullah SAW adalah orang yang paling pemurah melakukan pelbagai kebaikan. Kemurahan Baginda SAW akan bertambah menjelangnya bulan Ramadan. Kerana setiap tahun Jibril selalu menemui baginda tiap-tiap malam, hingga habis bulan Ramadan. Rasulullah SAW memperdengarkan bacaan al-Quran kepadanya (dan Jibril menyemak). Apabila Jibril mendatanginya, baginda lebih banyak lagi berbuat kebajikan melebihi angin yang berhembus.” (Hadis Riwayat Muslim, No. 2308)

Saban tahun, atas nama Ramadan dan kemanusiaan, pelbagai inisiatif daripada NGO-NGO dan badan kebajikan supaya masyarakat bersama-sama menyumbang demi membantu mereka yang amat memerlukan, sama ada di dalam negara atau di luar negara.
Bagi Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), usaha ini dilaksanakan oleh institusi-institusinya antaranya kempen Rayuan Ramadan oleh Yayasan Ikram Malaysia, MyRamadan oleh Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) dan Sedekah Ramadan oleh Hidayah Centre Foundation (HCF).

Bagi mereka yang ingin bersedekah, sumbangan Ramadan boleh disalurkan melalui pautan-pautan berikut:
1. Rayuan Ramadan (Bantuan kebajikan dalam negara): https://www.billplz.com/RR2021
2. MyRamadan (Bantuan luar dan dalam negara): https://donate.mycare.org.my/c/myramadan
3. Sedekah Ramadan (Dakwah dan sokongan mualaf): www.dahsedekah.com

Ini tidak termasuk usaha-usaha kebajikan di peringkat IKRAM negeri dan kawasan di seluruh negara yang mewujudkan kempen masing-masing bagi meringankan beban pelbagai golongan yang memerlukan di kawasan setempat. Justeru, marilah kita bersama-sama menzahirkan keprihatinan kita seterusnya menyumbang dalam pelbagai kempen sedekah Ramadan. Jadikan Ramadan sebagai bulan pemangkin semangat kebajikan demi kemanusiaan, sekali gus menatijahkan ketakwaan.

Mohammad Hafizuddin Abdul Mukti
Jabatan Penerangan dan Perhubungan
Pertubuhan IKRAM Malaysia