KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mempersoalkan pengumuman Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) yang melibatkan kawalan harga barangan terhadap 12 barangan.
Katanya, jumlah kawalan harga barangan itu membimbangkan apatah lagi berlaku peningkatan harga barang menjelang Aidilfitri.
“Jadi bila berlaku kenaikan harga barangan asas, kehidupan begitu ramai rakyat Malaysia menjadi sangat sukar. Inisiatif pemantauan dan penguatkuasaan harga makanan juga nampaknya tidak cukup efektif untuk mengatasi isu pembekal yang mengambil kesempatan menaikkan harga serta aktiviti monopoli.
“Yang lebih membimbangkan ialah kenapa Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) yang baru diumumkan dan akan dikuat kuasakan bermula 21 April hanya melibatkan 12 barangan kritikal?
“Adakah wajar untuk membiarkan rakyat terus terhimpit sementara menunggu kerajaan menyenaraikan barangan lain dalam Skim tersebut. Kenapa perlu menunggu ketibaan hari perayaan untuk berbuat demikian?” soalnya menerusi kenyataan yang disiarkan di Twitternya.
Pada masa yang sama beliau turut bimbang tentang peningkatan harga barangan keperluan baru-baru ini yang mempunyai kaitan dengan bekalan makanan yang tidak mencukupi.
Justeru ujar Mohamad, sikap proaktif kerajaan menangani harga barang diperlukan pada masa ini.
“Punca kenaikan harga selalunya adalah disebabkan peningkatan permintaan melebihi penawaran. Adakah ini bermakna bekalan makanan negara tidak mencukupi? Dan jika mencukupi, setakat berapa lama lagi kecukupan itu akan bertahan.
“Kerajaan perlu berhenti dengan tindakan reaktif mereka. Tadbir urus yang proaktif sangat diperlukan untuk mengawal harga barangan asas supaya rakyat tidak terus terbeban dalam saat getir seperti sekarang,” katanya.
Semalam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengumumkan 12 jenis barangan bawah SHMMP 2021, bermula 21 April 2021.
Senarai barang yang diumumkan dalam skim berkenaan termasuk ayam, telur ayam, daging serta hasil laut seperti ikan tongkol, selayang, kembung dan mabung.
Mengulas lanjut, kerajaan tambah Mohamad, perlu menyemak semula inisiatif Program Food Bank Malaysia yang bermatlamat meringankan kos sara hidup rakyat khususnya golongan isi rumah B40 dan mereka yang memerlukan.
Selain itu, strategi terbaru dan insentif berpatutan perlu digunakan untuk mendapatkan komitmen daripada lebih banyak penyumbang termasuk pengilang, syarikat korporat dan pasaraya.
“Rakyat Malaysia terus melalui saat yang sukar demi kelangsungan hidup. Kerajaan sehingga saat ini gagal memberikan solusi tuntas dan segera,” kata beliau. -MalaysiaGazette