KUALA LUMPUR – Tindakan tegas dalam membanteras judi dalam talian membuktikan kesungguhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk menghapuskan aktiviti yang bertentangan dengan undang-undang itu.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Suhaili Abdul Rahman berkata, selain itu langkah tersebut juga diambil bagi memastikan sentimen umat Islam di negara ini sentiasa dijaga.
“Jelas sekali kerajaan Perikatan Nasional bertindak tegas terhadap syarikat dan penerbit yang terlibat menghasilkan video iklan judi hari raya.
“Video itu terang-terang tidak menghormati sensitiviti umat Islam dan perbuatan itu turut menghina kedudukan agama Islam dalam bulan Ramadan yang mulia ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Suhaili mengulas mengenai langkah Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang giat membanteras penularan iklan raya judi yang panas kini.
Beberapa iklan raya judi dalam talian dikesan mulai minggu lalu tersebar di media sosial.
Ia mengakibatkan beberapa individu yang menjadi dalang kepada penyebaran video iklan itu sudah ditangkap dan direman.
Terbaharu, polis menahan tiga individu yang dipercayai terlibat dalam pembikinan dua lagi video iklan untuk mempromosikan kegiatan judi atas talian di sekitar ibu negara semalam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, dua suspek wanita dan lelaki berusia lingkungan 21 hingga 42 tahun itu telah direman bagi membantu siasatan.
Kesemua kes iklan raya judi itu disiasat dibawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dan Seksyen 4 (1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. – MalaysiaGazette