Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai bertanyakan sesuatu dengan wanita warga asing yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) semasa Ops Noda di Kepong, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 19 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Tujuh pelacur warga Vietnam dan dua lelaki tempatan ditahan dalam operasi Noda (Op Noda) di tiga premis pelacuran berasingan di sekitar Kepong malam tadi.

Kesemua wanita yang ditahan itu berusia dalam lingkungan 30-an manakala dua lelaki pula disyaki penjaga premis, masing-masing berusia 20 dan 50 tahun.

Manakala sebuah lagi premis tiada penjaga dikesan.

Serbuan yang bermula 8.45 hingga 11.30 malam tadi itu dibuat selepas sindiket berkenaan mempromosikan kegiatan pelacuran itu dengan memuat naik gambar wanita cantik dan berpakaian seksi melalui plikasi MiChat serta Facebook, kata Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai.

“Itu taktik yang digunakan sebagai jerat untuk memperdaya pelanggan untuk datang ke premis memilih wanita-wanita pilihan,” katanya.

Menurut Eng Lai, pasukannya telah membuat intipan dan penyamaran sebagai pelanggan sebelum kegiatan ini dibongkarkan.

Dalam serbuan itu, polis mendapati ada 13 bilik kecil yang khas dilengkapi ruang tidur dan bilik mandi dibina di tingkat satu premis berkenaan.

Katanya, sindiket berkenaan menawarkan caj RM150 hingga RM200 seorang.

Menurut beliau, kesemua wanita ini tidak memiliki pasport perjalanan yang sah.

“Kita sedang menyiasat bagi menentukan sama ada tiga premis yang diserbu ini dimiliki sindiket yang sama atau sebaliknya,” ujarnya.

Kesemua mereka yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 372 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1) Akta Imigresen 1959/63.

Ketujuh-tujuh wanita Vietnam itu juga akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen sejurus selepas siastan dan tindakan polis selesai, tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast