Khoon Leng menunjukkan keluasa pusat penyembelihan yang ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

GEORGE TOWN – Parti Gerakan Pulau Pinang mempersoalkan tindakan kerajaan negeri yang dikatakan mengancam periuk nasi peniaga ayam susulan pembinaan sebuah pusat penyembelihan dan penyimpanan ayam bernilai RM11 juta di Batu Lanchang, Jelutong di sini.

Ketua Biro Pengaduan Awam parti itu, H’ng Khoon Leng berkata, tindakan pembinaan pusat itu dilihat mengancam periuk nasi peniaga memandangkan pasarannya di monopoli oleh satu pihak.

H’ng Khoon Leng.

Jelasnya, pembinaan pusat seluas 3,527 meter persegi itu turut disifatkan sebagai satu pembaziran sedangkan pusat penyembelihan dan pemprosesan ayam yang ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar hanya berkeluasan antara 93 sehingga atau lebih 130 meter persegi. 

“Kerajaan negeri perlu menjelaskan kelebihan pembinaan pusat penyembelihan itu kepada peniaga-peniaga ayam ini kerana mereka memerlukan premis penyembelihan sendiri bagi menjamin bekalan ayam segar di pasar basah.

“Isunya sekarang peniaga tidak mahu ayam sejuk beku dibekalkan di pasar basah kerana ia boleh menganggu juala mereka kerana pembeli boleh dapatkan ayam yang sama di pasar raya.

“Ini sekali gus menunjukkan kerajaan DAP gagal menyelesaikan isu berbangkit sebaliknya tetap dengan pendirian mahu laksanakan penjualan ayam sejuk beku,” katanya kepada pemberita ketika ditemui hari ini.

Dalam perkembangan sama, Khoon Leng menegaskan pihaknya masih menunggu jawapan daripada kerajaan negeri khususnya Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) berhubung pembinaan pusat penyembelihan ayam itu.

Parti Gerakan Pulau Pinang mempersoalkan tindakan kerajaan negeri membina pusat penyembelihan dan simpanan ayam bernilai RM11 juta.

“Kita sudah menghantar memorandum beberapa kali selain mengadakan demonstrasi aman di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) bagi membantah penubuhan pusat tersebut, namun sehingga kini tiada maklum balas daripada kerajaan negeri berhubung isu itu.

“Sekiranya mereka (kerajaan negeri) terus membisu, kita akan mengambil langkah susulan termasuk tindakan undang-undang bagi membela nasib peniaga ayam di negeri ini,” ujar Khoon Leng.

Pada Disember lalu MBPP cadang menghapuskan aktiviti penyembelihan ayam di semua pasar basah di bahagian pulau apabila pembinaan pusat pengedaran ayam di Batu Lanchang siap sepenuhnya pada tahun ini.

Peniaga ayam juga dikenakan syarat iaitu perlu menggunakan kaedah penyimpanan ayam dalam peti pendingin menyebabkan ayam yang disimpan tidak segar dan sukar dijual malah mereka perlu mengeluarkan sejumlah wang bagi membeli peti berkenaan dengan harga RM3,000 ke atas.

Selain menimbulkan keraguan mengenai status halal ayam yang disembelih dan dibekalkan oleh pengedar ayam yang dilantik MBPP, peniaga juga mendakwa berlaku monopoli dalam perniagaan itu.

Penguatkuasaan yang sepatutnya dilaksanakan bermula 1 Mac lalu ditunda sehingga akhir Mei ini. – MalaysiaGazette