Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V. Sithambaram pada rayuan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd oleh Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Istana Kehakiman, Putrajaya .Foto HAFIZ SOHAIMI, 20 APRIL 2021

PUTRAJAYA – Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram akan terus berhujah dalam kes rayuan penyewelengan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd (SRC) melibatkan Datuk Seri Tun Razak di  Mahkamah Rayuan di sini sebentar lagi.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan hadir sekitar 8.55 pagi dalam keadaan tenang dan sempat senyum kepada media yang masuk hari ke-11 hari ini.

Semalam, Sithambaram menggelar ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low ‘macai’ Najib serta dua yang lain membantu mengatur pemindahan berjuta-juta dana SRC International Sdn Bhd ke dalam akaun bank peribadi Najib.

Dua lagi macai yang digelar Sithambaram itu ialah Datuk Azlin Alias (bekas ketua setiausaha sulit Najib), bekas CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) SRC Nik Faisal Ariff Kamil.

Sithambaram berhujah demikian di hadapan panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil dalam prosiding rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman penjara kerana penyalahgunaan dana SRC International sebanyak RM42 juta.

Datuk Seri Najib Tun Razak hadir ke mahkamah bagi mendengar rayuan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Istana Kehakiman, Putrajaya .Foto SYAFIQ AMBAK, 21 APRIL 2021.

Dua lagi hakim yang bersidang ialah Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Selain itu, Sithambaram berhujah tentang hubungan akrab antara Najib dan Jho Low yang  saling percaya antara satu sama lain sekitar tahun 2015 dan 2016.

Hujah Sithambaram, adalah sesuatu yang mengejutkan apabila bekas perdana menteri itu mendakwa tidak tahu menahu tentang wang berjuta ringgit yang ada dalam akaun peribadinya sebaliknya menuding jari kepada Jho Low.

Jelas beliau, Jho Low telah berurusan dengan Ambank dalam pengetahuan Najib  antara peranan ahli perniagaan itu yang sentiasa memastikan wang mencukupi untuk digunakan oleh perayu secara peribadi.

Kata Sithambaram tidak logik jika pembelaan berterusan mendakwa Jho Low telah bertindak memasukkan dana ke dalam akaun perdana menteri semata-mata untuk membuat Najib percaya, malah menggunakan dana bukan miliknya.

Selain itu, beliau juga turut membangkitkan tentang dua pengarah SRC telah menggunakan tandatangan palsu atau ‘potong dan menampalnya’ untuk memasukkan RM42 juta ke dalam akaun Najib bukan isu dalam kes ini.

Sebaliknya kata Sithambaram, sekiranya terdapat pertikaian mengenainya, perkara itu adalah antara syarikat dan bank, bukan Najib.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lepas menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kepada Najib setelah mendapati beliau bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kedudukan, melibatkan dana SRC sebanyak RM42 juta .

Prosiding bersambung dengan Sithambaram mula berhujah. -MalaysiaGazette