Datuk Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Pemberian Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM500 yang diberikan kepada penjawat awam Gred 56 dan ke bawah membuktikan kerajaan menghargai jasa, komitmen dan pengorbanan mereka.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat berkata, apa yang lebih menggembirakan apabila pemberian itu meliputi kakitangan Contract For Service, Pegawai Sambilan Harian serta lantikan MySTEP dan RM250 kepada pesara kerajaan.

“CUEPACS telah mengutuskan surat kepada Perdana Menteri pada dua minggu lalu bagi menyampaikan permintaan warga penjawat awam mengenai Bantuan Khas Kewangan ini.

“Alhamdulillah Perdana Menteri telah mengambil pertimbangan tersebut sekali gus menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam,” katanya dalam kenyataan terbaharu hari ini.

Tambah Adnan, pemberian itu merupakan bukti penghargaan kepada usaha keras penjawat awam selama ini dalam menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah kepada rakyat.

Menurutnya, pihaknya berharap semua penjawat awam meneruskan momentum kecemerlangan dalam menjalankan tanggungjawab masing-massing bagi menjayakan agenda pemulihan ekonomi serta dasar prihatin rakyat.

Katanya, dengan keperihatinan kerajaan ini penjawat awam harus terus mengekalkan fokus kepada tugas dan sudah pasti kerajaan menuntut kepada produktiviti dan intergriti.

“Dalam masa yang sama, CUEPACS berharap semua pihak berlapang dada dan tidak mempertikaikan keputusan kerajaan memberikan bantuan Aidilfitri kepada penjawat awam.

“Kerajaan merupakan majikan kepada penjawat awam dan tidak menjadi kesalahan untuk mereka meminta sesuatu bantuan daripada majikan sendiri.

“Daripada sudut yang luas, pemberian bantuan khas kewangan ini secara tidak langsung turut memberi impak yang positif kepada ekonomi dan rakyat apabila wang tersebut beredar ke pasaran,” ujarnya.

Menurut Adnan, bantuan kewangan tersebut sudah pasti akan dibelanjakan untuk membeli barangan keperluan yang akan memanfaatkan peniaga-peniaga kecil, pasar raya besar dan sektor-sektor ekonomi yang lain. – MalaysiaGazette