SEREMBAN – Sebuah pawagam berusia lebih 70 tahun di Jalan Dr Krishnan di sini, musnah akibat kebakaran yang berlaku awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Mohammad Idris berkata, kebakaran pada kira-kira 4 pagi itu turut melibatkan lima unit kedai yang kosong.
“Ketika tiba di lokasi, kami dapati api sedang marak membakar bangunan dua tingkat berkenaan. Api dapat dipadamkan sepenuhnya pada 8.40 pagi.
“Kebakaran itu memusnahkan keseluruhan bangunan pawagam,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Menurutnya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana bangunan tersebut tidak berpenghuni.
Punca dan nilai kerugian masih dalam siasatan, katanya. – Bernama