KLANG – Seorang remaja tempatan dibelasah sekumpulan lelaki gara-gara bunyi kuat ekzos motosikal miliknya.
Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 7.30 malam di kawasan Menara Maju Klang, di sini pada Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, semasa kejadian remaja berusia 16 tahun sedang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss sebelum ditahan oleh seorang lelaki kerana menunggang motosikal dengan laju.
Katanya, mangsa kemudian telah ditampar dan dipukul oleh suspek pertama.
“Tidak cukup sekadar itu, beberapa rakan lelaki berkenaan turut datang ke lokasi dan membelasah remaja berkenaan menggunakan kayu dan topi keledar.
“Mangsa segera menghubungi ayahnya untuk meminta bantuan.
“Malangnya, bapa mangsa yang bergegas ke lokasi untuk menyelamatkan mangsa turut dipukul oleh kumpulan itu,” katanya ketika dihubungi petang ini.
Tambah beliau, insiden serangan itu mengakibatkan remaja itu mengalami kecederaan di badan dan kepala sementara bapanya mengalami luka di tangan.
Menurut beliau, bertindak atas kejadian dan laporan mangsa, sepasukan polis yang diketuai Ketua Polis Balai Klang, Inspektor Ahmad Afiq Rusli berjaya menjejaki dan menahan enam lelaki disyaki terlibat dalam insiden tersebut sekitar jam 11 malam pada keesokan hari ini.
Kesemua suspek adalah lelaki tempatan berumur antara 17 hingga 45 tahun.
“Hasil soal siasat polis ke atas mereka mendapati kejadian berpunca daripada bunyi bising ekzos motosikal mangsa,” katanya.
Mereka direman dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan. -MalaysiaGazette