KUALA LUMPUR – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah berjaya mencipta sejarah tersendiri apabila pertama kali disenaraikan dalam penarafan Times Higher Education (THE) Impact Rankings 2021 peringkat global.
Pencapaian berprestij dalam senarai universiti terbaik dalam menjayakan kelestarian dunia itu telah diumumkan baru-baru ini berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan dalam THE Impact Rankings 2021.
THE Impact Rankings 2021 merupakan satu-satunya jadual pengukuran prestasi global yang menilai aktiviti universiti-universiti seluruh dunia selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Buat pertama kalinya penyertaan UTeM dan terus mendapat pengiktirafan apabila telah disenaraikan pada kedudukan tangga 801-1000 daripada keseluruhan universiti terlibat peringkat antarabangsa.
Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, pencapaian terbaharu itu mengukuhkan kedudukan UTeM sebagai antara institusi terbaik di dunia.
Jelas beliau, penarafan kedudukan THE Impact Rankings 2021 berteraskan kepada penilaian yang berfokus kepada empat bidang utama sesebuah universiti merangkumi penyelidikan, pengawasan, jangkauan dan pengajaran terhadap 17 fokus SDG.
UTeM telah berjaya menyerlah dalam empat komponen SDG seperti SDG 6 (Clean Water and Sanitation), SDG 7 ( Affordable and Clean Energy), SDG 13 (Climate Action) dan SDG 17 (Partnerships for The Goals),” ujarnya dalam kenyataan baru-baru ini.
Kata Raha, UTeM di segenap peringkat akan terus bergiat aktif melaksanakan inisiatif-inisiatif baharu menambahbaik kedudukan ini bagi tahun dan masa akan datang.
Beliau berkata, penarafan itu juga diharap turut memantapkan lagi jentera pengurusan universiti terutama dalam aspek mendepani sebarang cabaran kini dan mendatang.- MalaysiaGazette