KUALA LUMPUR – Kejayaan Kerajaan Malaysia menerbitkan Sukuk Kelestarian berdaulat yang pertama di dunia dalam dolar AS (AS$) dengan jumlah nilai AS$1.3 bilion adalah satu pencapaian yang membanggakan bagi negara.
Melalui lebihan langganan sebanyak 6.4 kali, saiz terbitan asal dinaikkan daripada AS$1.0 bilion kepada AS$1.3 bilion.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, berdasarkan permintaan yang menggalakkan, kerajaan juga berjaya menetapkan harga yang kompetitif bagi Sukuk Kelestarian ini.
”Ini jelas mencerminkan keyakinan pelabur dan keyakinan pasaran ke atas pemulihan dan prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia walaupun kerajaan berdepan dengan cabaran getir akibat pandemik Covid-19 dalam tempoh setahun lepas.
”Ini juga membuktikan Malaysia berada di landasan yang tepat dalam pengurusan ekonomi ke arah pertumbuhan yang lebih mampan dan kukuh,” katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kewangan dan agensi-agensinya yang terlibat, seperti Bank Negara Malaysia, yang telah bekerjasama di dalam menjayakan pemasaran dan terbitan Sukuk Kelestarian yang unik dan unggul dari sudut inovasi instrumen kewangan Islam.
Muhyiddin yakin pencapaian ini juga akan terus menyerlahkan lagi kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam pasaran kewangan Islam global.
”Insya Allah, Sukuk Kelestarian ini akan terus meletakkan kita di landasan pembangunan yang lebih lestari, mampan, berdaya tahan dan berdaya saing selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” ujar beliau. – MalaysiaGazette