Bidang perfileman juga menjadi nadi dalam melahirkan lebih ramai pakar kreatif dalam industri perfileman negara.

KUALA LUMPUR – Industri kreatif ketika ini dilihat semakin membangun malah ia menjadi penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi bagi banyak syarikat di seluruh dunia.

Menurut Pengasas dan Presiden Universiti Limkokwing, Tan Sri Prof. Emeritus, Lim Kok Wing berkata, sebagai contoh di Malaysia, industri itu menyumbang 1.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2015.

Katanya, industri kreatif menyumbang kepada penghasilan bakat individu atau berkumpulan berasaskan kreativiti, inovasi dan teknologi yang menjurus kepada sumber keberhasilan ekonomi dan pendapatan tinggi kepada negara.

“Dalam masa sama industri kreatif multimedia seperti animasi dan kandungan digital dilihat paling pesat berkembang berbanding penerbitan filem, televisyen dan sebagainya.

“Sedar atau tidak sebenarnya beberapa produksi tempatan telah berjaya menempa nama di persada antarabangsa malah turut mendapat permintaan tinggi untuk tayangan di dalam mahupun di luar negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Universiti Limkokwing telah melahirkan ramai graduan industri kreatif selama ini.

Berdasarkan rekod Kok Wing berkata, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, sektor industri kreatif menyumbangkan kira-kira RM29.4 bilion pada tahun 2019 kepada KDNK negara.

Menariknya jelas Kok Wing pada tahun yang sama (2019), industri ini turut memberikan peluang pekerjaan kepada 859,900 individu di seluruh negara.

Bukan itu sahaja industri tersebut juga mempunyai potensi besar untuk berkembang dan menyumbang kepada ekonomi Malaysia dalam jangka masa panjang.

Menurut Kok Wing, ketika ini cabaran yang dihadapi oleh semua pihak terlibat termasuk kerajaan, ialah bagaimana untuk memanfaatkan asas ini, dan langkah-langkah pelaksanaan supaya ekonomi kreatif boleh menjadi penyumbang besar kepada negara.

“Sedar situasi semasa ekonomi yang tidak menentu terutama selepas dunia dihimpit dengan pendemik Covid-19 maka industri kreatif diyakini berupaya menjadi salah satu daripada bidang tumpuan oleh negara pada masa depan selain hospitaliti dan pelancongan.

“Ini kerana industri kreatif dilihat mampu menjana kepada pembangunan ekonomi terutama di peringkat Negara. Seperti diketahui umum industri kreatif di Malaysia mempunyai ruang dan potensi untuk menjana pendapatan rakyat di samping berupaya menjadikan ekonomi negara lebih dinamik,” katanya.

Industri kreatif seiring dengan kemajuan global hari ini.

Kok Wing turut menjelaskan, berdasarkan kajian dilakukan oleh Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia sumbangan industri kreatif Malaysia terhadap KDNK adalah 2.0 peratus sejak lima tahun lepas dan kini menggaji sekitar satu juta orang.

“Dalam usaha menjadikan industri ini sentiasa kekal rasional maka pemain Industri perlu menongkah cabaran dengan menampilkan idea-idea kreatif dan inovatif untuk memajukan arena penerbitan penulisan kreatif negara.

Perkara ini boleh dicapai menerusi budaya berkongsi pengetahuan, menulis dan membaca. Semua ini menuntut daya kreativiti serta inovasi yang tinggi, kritikal kepada kita untuk merangka strategi bagi memastikan kedua-dua medium penyampaian ilmu sama ada yang bercetak atau digital, dapat meningkatkan lagi kadar literasi dan memperkaya ilmu pengetahuan rakyat di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Kok Wing berkata, dalam memastikan industri kreatif sentiasa seiring dengan kemajuan maka beberapa skop dalam bidang ini harus dihayati sepenuhnya.

“Antaranya pengetahuan asas berkaitan Industri Kreatif Multimedia iaitu penerbitan filem/TV, pengiklanan, senireka, animasi  dan kandungan digital. Di samping itu,  perlu ditekankan ialah kepentingan Industri Kreatif Seni budaya seperti kraf, seni visual, muzik, persembahan, penulisan kreatif serta  fesyen dan tekstil juga wajar diberikan fokus sepenuhnya malah Industri kreatif warisan budaya juga sama pentingnya,” katanya.

Menurut Kok Wing lagi, jika diamati susur galur industri ini maka matlamat utamanya akan jelas kelihatan iaitu bertujuan melonjakkan ekonomi dan sosiobudaya sesebuah negara.

Dalam masa sama ia mampu mencambah sumber maklumat dan mengetengahkan perlambangan budaya tempatan serta identiti kebangsaan ke peringkat global. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast