KUALA LUMPUR – Tindakan guru yang meraba pelajar perempuan di sekolah bagi membuktikan pelajar datang haid adalah satu tindakan yang melampau.
Ketua Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad berkata, perkara ini amat mengejut dan memalukan kerana ia masih berlaku dalam era ini.
Beliau sedang meneliti dengan penuh cermat polemik berhubung isu ini dan sekiranya dakwaan ini benar maka pihak berkaitan perlu mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan perkara ini dihentikan serta-merta dan tidak berulang lagi.
”Tindakan memaksa pelajar mencalit kemaluan sendiri bagi membuktikan pelajar perempuan benar-benar sedang datang haid bukan saja menjatuhkan maruah mereka, bahkan melanggar privasi dan ia juga boleh disifatkan sebagai gangguan seksual.
”Saya percaya tindakan sebegitu adalah bertentangan dengan norma ataupun dasar pendidikan negara.
”Bahkan Islam sendiri menuntut kita supaya memelihara maruah serta aib orang lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Noraini berkata, sekolah seharusnya menjadi tempat yang tenang, seronok dan penuh kasih sayang yang membuatkan pelajar rasa gembira dalam menimba ilmu dan dan bukannya berasa terancam ataupun diganggu.
Justeru Wanita UMNO menggesa pihak bertanggungjawab untuk membuat siasatan segera bagi mengatasi isu ini agarĀ ia tidak mencemarkan institusi sekolah di negara. – MalaysiaGazette