PUTRAJAYA – Baru tiga hari dilancarkan, sudah ada usaha memanipulasi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dikesan
Selepas sindiket penipuan program itu didalangi seorang warga Pakistan dengan dibantu pasangan tempatan ditumpaskan dua hari lalu kini satu lagi sindiket yang sama didalangi seorang wanita warga tempatan dilumpuhkan Jabatan Imigresen.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya telah menyerbu kediaman di Kota Damansara, pada jam 4.30 petang semalam dan menahan seorang wanita warga emas berusia 61 tahun.
Operasi khas ini dijalankan hasil risikan yang dilakukan penguatkuasa Imigresen Putrajaya selama sebulan ke atas kegiatan serta aktiviti haram sindiket ini.
“Hasil serbuan dan pemeriksaan di dalam premis kediaman itu, penguatkuasa Imigresen berjaya menemui sejumlah 79 naskah pasport Bangladesh yang didapati terdapat Pas Lawatan Sosial (PLS) telah tamat tempoh dan ada antaranya tidak mempunyai sebarang pas.
“Dalam serbuan sama, seorang wanita warga emas tempatan berumur 61 tahun telah ditangkap kerana kesalahan di bawah seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 iaitu tanpa kuasa yang sah memiliki pasport yang dikeluarkan untuk kegunaan orang selain dirinya.
“Ia juga satu kesalahan di bawah seksyen 56(1)(k) Akta Imigresen 1959/63, iaitu cuba untuk mendapatkan bagi diri orang lain suatu pas dengan mengemukakan maklumat palsu,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, tambah beliau seorang lelaki warga tempatan yang berada di tempat serbuan pula telah diberikan notis untuk hadir ke Pejabat Imigresen bagi membantu siasatan bagi kes yang sama.
Menurut Khairul, pihaknya juga merampas wang tunai berjumlah RM37,050 serta dokumen berkaitan yang digunakan oleh suspek dalam kegiatannya.
“Sindiket ini dipercayai memanipulasi pelanggan untuk mendaftarkan diri dalam Program Rekalibrasi Tenaga Kerja atas nama majikan yang mereka sediakan dengan mengenakan jumlah bayaran tertentu tetapi siasatan mendapati semuanya adalah sebagai helah sindiket untuk mengaut keuntungan.
“Modus operandi sindiket ini adalah dengan mencari pelanggan dalam kalangan PATI untuk didaftarkan kononnya sebagai pekerja bagi tiga syarikat atas nama suspek wanita terbabit.
“Setiap PATI dikenakan bayaran antara RM2,000 hingga RM3,000 setiap orang bagi membolehkan mereka didaftarkan dalam Program Rekalibrasi.
“Hasil siasatan awal kami juga mendedahkan tiga syarikat tersebut tidak pernah beroperasi sebagaimana didaftarkan sebaliknya hanya digunakan untuk tujuan pendaftaran Program Rekalibrasi semata-mata.
“Sindiket ini dipercayai telah beroperasi sejak tiga bulan yang lalu dan menyasarkan PATI warganegara Bangladesh yang berada di sekitar Lembah Klang,” tegasnya.
Justeru katanya, suspek wanita tempatan yang ditangkap itu dibawa ke mahkamah hari ini bagi mendapatkan perintah reman di bawah seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
Khairul menasihatkan majikan dan orang ramai di luar sana supaya tidak menyalahgunakan peluang yang disediakan melalui Program Rekalibrasi ini dengan mendaftarkan PATI hanya untuk mengaut keuntungan peribadi semata-mata.- MalaysiaGazette