KEPALA BATAS – Bazar Aidilfitri Karnival Marhabah Kios, Bertam di sini berdepan tindakan penutupan sekiranya didapati masih gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti ditetapkan kerajaan.
Tindakan itu akan diambil Polis Daerah Seberang Perai Utara susulan pemantauan di lokasi bazar bermula jam 9 malam semalam mendapati penganjur bazar berkenaan gagal memastikan para pengunjungnya mematuhi SOP.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, satu notis amaran telah dikeluarkan kepada penganjur susulan gagal mengawal jumlah kemasukan dan kepadatan pengunjung di dalam tapak karnival.
“Hasil pemantauan dilakukan mendapati kira-kira 300 pengunjung berada dalam tapak karnival pada satu masa dan ini sekali gus menunjukkan kawasan berkenaan padat.
”Tiada sistem penggiliran dibuat untuk memastikan jumlah pengunjung tidak melebihi had yang dibenarkan.
“Bagiamanapun, pihak penganjur dilihat menyediakan buku rekod pengunjung serta gerai di bazar Aidilfitri berkenaan turut disanitasi,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Tambah Noorzainy, dalam pemantauan yang sama, satu notis amaran dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan dan satu notis oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai.
“Kita minta penganjur buat penambaikan serta-merta bagi mengelak tindakan penutupan diambil,” ujar beliau.
MalaysiaGazette sebelum ini melaporkan bazar Aidilfiri di seluruh negara dilanjutkan hingga jam 2 pagi berkuat kuasa Sabtu lalu.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu mengambil kira rayuan penjaja berikutan waktu perniagaan ketika ini yang tamat jam 12 tengah malam adalah terlalu singkat. – MalaysiaGazette